PETALING JAYA: Tegas menunjukkan solidariti terhadap Palestin, pelakon, Datin Intan Najuwa mengakui dirinya semakin cakna dan berhati-hati dalam membuat sebarang pembelian yang melibatkan jenama antarabangsa.
Menurut Intan, dia sentiasa membuat semakan pada laman sesawang Gerakan Boikot, Pelucutan Pelaburan, dan Sekatan (BDS) agar tidak melakukan sebarang sumbangan kepada jenama Israel.
“Adakah jenama ini termasuk dalam mana-mana senarai boikot?
“Saya sudah semak kedua-dua senarai boikot dan juga di laman sesawang BDS Movement tapi jenama ini tidak tersenarai pula,” katanya membalas komen seorang netizen di TikTok.
Tambah Intan, meskipun sudah berhati-hati sebelum membuat sebarang pembelian barangan berjenama, dia akan terus melupuskannya jika menyedari barangan itu penyumbang kepada Israel.
“Jika saya tersilap, tolong bagitahu saya. Jika betul jenama ini perlu diboikot, saya akan terus buang barang itu sekarang juga,” tegasnya.
Terdahulu, Intan memuat naik sebuah perkongsian di TikTok menunjukkan dirinya membuka bungkusan set lengkap perkakas dapur sebuah jenama mewah.
Namun, tindakan pelakon itu dipersoal seorang netizen di ruangan komen yang menyatakan jenama perkakas tersebut seharusnya diboikot.
Enggan mencetuskan salah faham, pelakon yang membintangi drama Jesnita itu menjelaskan dirinya sudah melakukan semakan secara terperinci jenama tersebut sebelum membelinya.
Kagum dengan sikap telitinya, rata-rata warganet menasihatkan Intan supaya tidak membuang barang-barang tersebut jika yakin ia tidak tersenarai di antara jenama yang perlu diboikot.