Belanjawan 2026 kukuhkan industri sawit Malaysia

Belanjawan 2026 kukuhkan industri sawit Malaysia

AHMAD PARVEEZ GHULAM KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belanjawan 2026 yang memberi tumpuan terhadap automasi, inovasi dan kemampanan industri sawit negara dapat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju global minyak sawit mampan.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, langkah-langkah yang diumumkan dalam belanjawan kali ini mencerminkan kesungguhan kerajaan memastikan kelangsungan serta daya saing sektor strategik tersebut.

Katanya, belanjawan kali ini juga memperkukuh komitmen kerajaan terhadap industri sawit sebagai sektor strategik negara. 

“Peruntukan yang diberi mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap peranan penting industri ini sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara serta kesejahteraan pekebun kecil dan tenaga kerja tempatan. 

“Penekanan terhadap inovasi, automasi dan kemampanan bukan sahaja menjamin daya saing industri malah membuka peluang kepada tenaga kerja tempatan untuk turut terlibat dalam ekonomi berteknologi tinggi dan bernilai tambah,” katanya.

Ahmad Parveez berkata, pelaksanaan penanaman semula dan pengukuhan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) akan terus diperkasa bagi memastikan industri sawit negara berada pada landasan kukuh.

“Pembangunan teknologi automasi ladang turut diberi keutamaan supaya industri ini kekal sebagai peneraju global yang berdaya tahan serta memberi impak positif terhadap ekonomi, masyarakat dan alam sekitar,” katanya. 

Beliau berkata, antara inisiatif utama yang diumumkan adalah peruntukan RM63 juta bagi memperhebat kempen menangani anti-minyak sawit serta memperkukuh MSPO. 

“Langkah ini penting bagi menangkis salah tanggapan antarabangsa dan mengukuhkan reputasi minyak sawit Malaysia sebagai minyak sayuran bebas lemak trans yang dihasilkan secara mampan.

“Sebanyak RM20 juta turut disediakan untuk menggalakkan pengeluaran produk mekanisasi dan automasi ladang sawit oleh syarikat tempatan dengan sokongan MPOB.

“Inisiatif ini dijangka mempercepatkan transformasi sektor sawit ke arah automasi dan pendigitalan selaras Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2023) serta mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing,” ujarnya.

Selain itu, katanya, kerajaan turut memperuntukkan RM120 juta bagi membantu pekebun kecil melaksanakan penanaman semula pokok tua di bawah skim galakan tanam semula. 

“Langkah itu memberi peluang kepada lebih ramai pekebun kecil meningkatkan hasil dan pendapatan melalui penggunaan bahan tanaman berkualiti tinggi daripada pembekal sah di bawah Pensijilan Kod Amalan Baik Tapak Semaian (CoPN) MPOB.

“Bagi memperkukuh infrastruktur, sebanyak RM50 juta turut diumumkan bagi penyelenggaraan dan pembangunan jalan-jalan ladang, sekali gus menambah baik kemudahan logistik untuk pekebun kecil di seluruh negara.

Dalam pada itu, katanya, peruntukan RM2.4 bilion turut disalurkan kepada agensi peneraju seperti FELDA, RISDA dan FELCRA bagi membantu lebih 720,000 peneroka serta pekebun kecil di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN