Malam Perlis wadah anak negeri kukuh jati diri, erat hubungan

Malam Perlis wadah anak negeri kukuh jati diri, erat hubungan

Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyempurnakan Majlis Malam Perlis 2025 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kuala Lumpur: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, Majlis Malam Perlis bukan sekadar pertemuan tahunan, malah menjadi wadah penting bagi anak-anak Perlis di perantauan mempererat hubungan kekeluargaan dan mengukuhkan jati diri

Memuatkan artikel berkaitan…

Baginda bertitah, tema “Inilah Perlis” amat bertepatan dan penuh makna kerana ia bukan sahaja mencerminkan identiti Negeri Perlis, bahkan turut mengangkat martabat negeri di persada nasional dengan menonjolkan keindahan budaya, adat serta warisan yang menjadi kebanggaan bersama.

“Beta berharap agar usaha murni sebegini dapat melahirkan generasi anak Perlis yang berilmu, berdaya saing, berpandangan jauh dan tetap menghargai akar budaya sendiri. Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) diseru agar terus menjadi pemangkin dalam memperkasa kualiti diri, memperluas peluang, serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Malam Perlis 2025 yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam tadi.

Keberangkatan tiba Tuanku Raja Perlis turut diiringi oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. 

Turut berangkat sama ialah anakanda-anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan Duli-Duli Tuanku disambut oleh Yang Dipertua PPKL, Datuk Md Silmi Abd Rahman, serta kepimpinan tertinggi persatuan.

Majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) yang mempunyai 1,440 ahli pada ketika ini adalah bertujuan memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan warga Perlis di perantauan, di samping memperluas jaringan kerjasama serta memupuk rasa cinta dan kebanggaan terhadap negeri tercinta.

Pada majlis tersebut, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyempurnakan Pengurniaan Anugerah Tokoh PPKL kepada ahli perniagaan terkemuka yang pernah memimpin Renong / UEM Group iaitu Tan Sri Datuk Seri Halim Saad dan Tokoh Usahawan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kepada Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo. Kedua-duanya adalah anak kelahiran Perlis.

Baginda turut berkenan melancarkan Coffee Table Book (CTB) Sempena 38 Tahun Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis di majlis tersebut.

Tuanku Syed Sirajuddin  menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan serta seluruh ahli PPKL atas dedikasi dan komitmen mereka dalam menjayakan Malam Perlis 2025 dan berharap agar PPKL terus kekal relevan, unggul, serta beristiqamah dalam melaksanakan agenda kebajikan dan pembangunan insan. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN