KECANGGIHAN teknologi kecerdasan buatan (AI) perlahan-lahan campur tangan dalam kerja kreatif penggiat muzik seluruh dunia. Bermula dengan trend lucu sesederhana lagu popular Cindai, Datuk Seri Siti Nurhaliza disadur dengan suara artis Korea Selatan atau Justin Bieber menyanyikan lagu raya.
Kemudian sekelip mata peranan AI berkembang, dibuktikan dengan kejayaan artis ‘avatar’ seperti Hatsune Miku di Jepun yang hanya menggunakan perisian sintesis suara untuk ‘hidup’ di setiap konsert dengan tubuh hologram. Korea Selatan juga tidak ketinggalan memperkenalkan Naevis, artis virtual yang diramal bakal mengubah cara penonton berhibur.
Malah, fungsi komposer serta penulis lirik juga boleh digantikan seperti penerbitan lagu Heart on My Sleeve, dibancuh teknologi dengan suara Drake dan The Weeknd. Melihat perubahan ini, apa pula pandangan penulis lirik pemenang Juara Lagu, Anugerah Juara Lagu ke-26. Jawablah Buddhi Hekayat!
J: Melihat kecanggihan AI yang seolah-olah boleh menggantikan peranan pemuzik, artis, komposer, termasuklah penulis lirik seperti tuan. Adakah tuan merasakan ia boleh menjadi ancaman?
Lirik AI tidak boleh lawan kami sampai kiamat pun. Bayangkan, cerita dalam lagu tentang seorang lelaki pergi solat tarawih jumpa seorang perempuan. Balik dari surau, perempuan itu hilang. Macam mana AI hendak buat pengalaman itu?
Sebagai penulis lirik, saya tidak rasa AI menjadi ancaman. Kita semua tahu lirik dihasilkan AI mana ada jiwa. Saya beri contoh, ada seorang individu pernah datang ke studio minta saya tuliskan lirik untuk emak dia. AI mana boleh buat semua itu.
J: Bila bercakap tentang lirik dan pengalaman, macam mana tuan melihat lirik hari ini yang seringkas ‘Oi aku nak tanya ni, suka matcha atau suka kopi’?
Pengalaman saya duduk dengan arwah Loloq selama 10 tahun, beliau tidak pernah menurunkan kualiti bahasa. Baginya taraf lirik ini bawah sikit sahaja daripada puisi. Kadang-kadang dia berada di tahap yang sama.
Tapi tidaklah bermaksud kena baku seperti Dewan Bahasa. Kalau kaku sangat pun tidak boleh juga. Cuma bila semua rasa mereka boleh tulis lirik, tulislah, tapi biar ada standard tertentu. Jika tidak, bila masuk industri anda akan cepat tenggelam.
J: Pendapat tuan, bahasa pertuturan kita sehari-hari boleh digunakan dalam lagu? Adakah ia termasuk lirik yang bagus?
Dahulu, arwah Loloq tulis lirik hari-hari depan saya. Album Spider, sembilan daripada 10 lagu semua beliau yang tulis, ada sahaja yang beliau gunakan bahasa pasar. Tapi perlu cerdik cara hendak guna agar ia tetap boleh diguna dalam konteks sasterawi. Sebagai penilai karya, kita boleh nampak karya itu bagus atau tidak.
J: Contoh?Loloq menulis lagu rap untuk Salih Yaacob, Pisang Panas. Dalam lirik itu ada guna perkataan ‘tahi kambing bulat-bulat’. Waktu itu mana ada orang tulis lagu lirik begitu. Kita boleh kata bahasa pasar sebab apa? Loloq memang kutu jalan. Tapi dia boleh angkat bahasa kutu jalan, bahasa pasar ke tahap berbeza yang ada kekuatan.
J: Melalui pengamatan tuan, era muzik manakah di Malaysia yang begitu berpengaruh baik lirik dan melodinya?
Rock kapak adalah sebenarnya identiti muzik masyarakat kita. Kalau pergi konsert Wings ada bangsa Cina yang datang. Dekat TikTok ada juga bangsa lain yang taasub dengan dengan Lefthanded dan XPDC.
Waktu itu selain Hindustan, orang kita boleh terima produk rock kapak. Lirik dan melodinya berbeza. Bunyinya sudah cukup ‘bau’ Malaysia. Walaupun saya tidak menafikan KRU turut memberi pengaruh muzik kepada bangsa bukan Melayu. Selain KRU, Datuk Sheila Majid juga, cuma muziknya dinikmati kelompok demografi tertentu sahaja.