IPOH: Kegiatan pasangan suami isteri menjadikan rumah sewa mereka di Taman Assamara, Taiping sebagai lokasi ‘mencuci’ dadah sebelum diedarkan terbongkar dengan tertangkapnya kedua-dua suspek kelmarin.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada pukul 5.15 petang di tepi jalan berhampiran kawasan pasar di Pokok Assam.
Katanya, dengan dipandu arah suspek, polis menyerbu sebuah rumah sebelum menahan seorang wanita berusia 26 tahun dan merampas enam peket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 5.06 kilogram.
“Pemeriksaan di rumah berkenaan juga menjumpai cecair disyaki mengandungi dadah seberat 84.75 liter.
“Selain itu, turut ditemui beberapa peralatan dan bahan kimia dipercayai untuk proses pembersihan semula dadah methamphetamine yang tidak berkualiti untuk dijual semula di pasaran,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, nilai dadah yang dirampas itu berjumlah RM2.8 juta dan dianggarkan ia boleh digunakan oleh seramai 51,486 penagih.
Katanya, berdasarkan siasatan, sindiket itu mulai aktif sejak Ogos lalu dan bahan tersebut disyaki diedarkan untuk kawasan di luar Perak.
“Berdasarkan ujian saringan air kencing, suspek lelaki didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai dua rekod kesalahan lampau manakala isterinya disahkan negatif dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagaimana pasangan itu memperoleh bekalan dadah untuk dicuci semula serta penglibatan isteri lelaki itu dalam kegiatan berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 apabila menyita sebuah kereta jenis Honda dan Nissan Navara dianggarkan bernilai RM100,000.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

 
								 
											









