Rugi RM1.97 juta gara-gara penipuan pelaburan dalam talian

Rugi RM1.97 juta gara-gara penipuan pelaburan dalam talian

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang pegawai jualan di sebuah syarikat swasta mendakwa telah menjadi mangsa kepada satu sindiket penipuan pelaburan dalam talian sehingga mengalami kerugian mencecah RM1.97 juta, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, laporan polis berhubung kejadian itu telah diterima oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, kelmarin.

Beliau berkata, mangsa yang juga seorang wanita tempatan berusia 53 tahun pada mulanya terlihat satu iklan pelaburan saham yang menawarkan keuntungan tinggi menerusi aplikasi Facebook dan mula berhubung dengan seorang suspek wanita melalui WhatsApp.

Katanya, mangsa kemudian telah diberi penerangan berkaitan pelaburan tersebut yang kononnya menjanjikan keuntungan antara 150 sehingga 200 peratus dalam masa dua minggu dari tempoh modal dilaburkan.

“Mangsa yang berminat seterusnya diminta memuat turun satu aplikasi khas untuk mendaftar keahlian sebelum melabur dan telah membuat sebanyak 35 transaksi kemasukan wang ke dalam enam akaun bank milik syarikat berbeza antara trikh 6 September hingga 28 Oktober tahun ini.

“Dia (mangsa) hanya menyedari diperdaya ketika ingin membuat pengeluaran keuntungan daripada aplikasi tersebut apabila diminta membuat bayaran tambahan sebelum dibenarkan berbuat demikian,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Azizee mengingatkan orang ramai bahawa penyertaan dalam mana-mana skim pelaburan khususnya yang ditawarkan secara dalam talian adalah sangat berisiko.

Dalam hal ini katanya, semakan perlu dibuat terlebih dahulu dengan pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi memastikan entiti atau individu tersebut diberi kebenaran oleh agensi berkenaan untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk serta perkhidmatan pasaran modal (pelaburan).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN