Rokok seludup dijual berleluasa

Rokok seludup dijual berleluasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setiap lima da­ri­pada 10 batang rokok yang dihisap perokok di negara ini dipercayai adalah rokok seludup.

Ini berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia yang mendapati penjualan rokok seludup berleluasa di kedai-kedai kecil sekitar Lembah Klang, sekali gus me­nimbulkan persoalan mengenai keberkesanan usaha membanteras kebocoran hasil negara.

Hasil tinjauan itu juga mendapati, hampir setiap kedai runcit kecil atau lebih dikenali kedai runcit ‘Acheh’, khususnya yang dikendalikan warga a­sing, menawarkan pelbagai jenis rokok seludup pada harga jauh lebih murah berbanding rokok sah yang dikenakan cukai.

Jenama rokok-rokok seludup boleh diperoleh dengan mudah di kedai-kedai runcit terutama di kawasan perumahan sekitar Shah Alam, Puchong, Kuala Lumpur, Subang, Klang, Gombak, Selayang dan Ampang.

Walaupun tidak dipamerkan di rak atau kaunter, para pe­langgan hanya perlu bertanya kepada ‘tuan kedai’ dengan menyebut nama jenama ter­tentu seperti U2, John Dblend atau Manchester jika mereka mahu membeli.

“Kebanyakan pelanggan sudah tahu jenama yang hendak diminta. Kebiasaan pelanggan tetap mencari, tetapi jika ada orang bertanya secara tiba-tiba dan tidak dikenali, kami akan berasa curiga.

“Namun, pelanggan tetap memang arif dengan ‘kod nama’ rokok seludup ini,” kata seorang pemilik kedai runcit warga Acheh yang mahu dikenali Jamal ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut peniaga kedai runcit itu, mereka memperoleh stok bekalan rokok seludup setiap minggu daripada pembekal dalam kalangan peniaga tempatan sekitar Jalan Raja Bot, di sini.

Dedahnya, rokok-rokok seludup itu biasanya disorok di belakang penutup polisterin sebelum diedarkan bagi me­ngaburi mata pihak berkuasa.

Antara jenama paling laris ialah U2 yang popular dalam kalangan pembeli tempatan, manakala warga asing lebih gemar memilih jenama Surya. Jenama lain yang turut dijual termasuk John, Canyon, Manchester, Gudang Garam, Dja­rum, Apache, Rave dan Luffman.

“U2 paling laku untuk orang tempatan kerana murah kira-kira RM6.50 sekotak. Warga asing pula lebih suka Surya dari Indonesia. Ada juga yang mencari Manchester kerana harganya hanya RM6 sekotak,” jelas seorang lagi peniaga.

Tinjauan turut mendapati, rokok seludup ditawarkan pa­da harga yang jauh lebih rendah berbanding rokok berdaftar. Contohnya, John Dblend dijual antara RM8 hingga RM9.50 sekotak, manakala pembelian secara karton lebih menjimatkan dengan harga serendah RM42. Sebagai perbandingan, rokok sah seperti Dunhill dijual sekitar RM16 sekotak.

Selain itu, peniaga turut menawarkan penjualan rokok setiap satu batang mengikut jenama tertentu pada harga antara 50 sen hingga RM1.50. Tawaran ini menjadikan rokok seludup semakin mudah diakses, termasuk pelajar sekolah dan golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu membeli sekotak penuh.

Ramai pembeli kata mereka tidak kisah dengan rokok seludup walaupun tahu bahaya kesihatan, asalkan duit belanja harian tidak terbeban. Harga rokok sah terlalu mahal, mencecah RM13 hingga RM20 sekotak. Jadi, ramai yang ber­alih kepada rokok seludup.

“Pelanggan bukan hanya terdiri daripada warga asing, malah ramai penduduk tempatan menjadi pelanggan tetap. Perokok tegar lazimnya membeli dalam jumlah banyak kerana satu kotak tidak mencukupi untuk sehari,” katanya.

Difahamkan, keuntungan diperoleh peniaga sekitar RM1 bagi setiap kotak. Justeru, penjualan rokok seludup kekal sebagai sumber pendapatan lumayan dan mudah diakses oleh pemilik kedai runcit kecil yang tidak menonjol.

Fenomena ini bukan perkara baharu kerana laporan Kastam Diraja Malaysia sebelum ini mendedahkan kerugian berbilion ringgit hasil negara akibat penjualan rokok tidak bercukai.

Lebih merugikan, sindiket penyeludupan rokok semakin licik apabila dikesan menggunakan setem cukai palsu bagi memperdaya pihak berkuasa, penjual serta pengguna, sekali gus menambah cabaran besar dalam usaha mengekang aktiviti jenayah ini.

Perbandingan secara visual antara setem palsu dengan setem cukai rasmi mendapati tidak nampak banyak perbezaan ketara dari segi cetakan, kod keselamatan dan ciri hologram.

Dengan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) di premis menjual rokok pada 1 Oktober, semua pihak menantikan ketegasan kerajaan dalam menutup ruang manipulasi sindiket, khususnya syarikat yang cuba memperbaharui lesen import mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN