JASIN: Persembahan robot anjing berteknologi kecerdasan buatan (AI) mencuri tumpuan pada Majlis Perasmian Penutupan Program Madani Rakyat (PMR) Negeri Melaka 2025 yang berlangsung di Politeknik Merlimau di sini, hari ini.
Robot anjing yang dinamakan Asuk itu dibangunkan oleh National Aerospace Defence Industries Sdn. Bhd. (NADI) dengan kerjasama Ghost Robotics dari Amerika Syarikat (AS), merupakan kenderaan darat tanpa pemandu berkaki empat (Q-UGV) yang menyokong operasi keselamatan, pertahanan dan misi respons kecemasan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merasmikan majlis berkenaan turut kagum apabila Asuk menunjukkan kemampuan bergerak secara autonomi, termasuk melakukan rondaan dan memberi reaksi kepada arahan melalui sistem AI masa nyata, menerusi sesi persembahan unik yang disampaikan oleh Maliha Afiya Abdul Halim.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Asuk mampu beroperasi selama 24 jam dengan berat sekitar 50 kilogram serta direka dengan penarafan IP67 yang membolehkannya berfungsi dalam persekitaran berhabuk dan terkena percikan air.
Platform itu turut dilengkapi dengan muatan modular yang boleh disesuaikan mengikut keperluan misi termasuk peninjauan zon bencana, kawasan pertempuran dan tapak industri berisiko tinggi.
Beberapa agensi negara termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menilai keupayaan sistem tersebut melalui demonstrasi teknikal dan ujian lapangan. – UTUSAN










