KUALA TERENGGANU: Sebanyak RM12.5 juta diperuntukkan bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan persediaan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka melanda Terengganu bermula bulan depan.
Peruntukan itu melibatkan sumbangan RM10 juta daripada kerajaan Persekutuan dan RM2.5 juta daripada kerajaan negeri yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melibatkan kira-kira 1,200 kilometer (km) sistem perparitan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, antara komponen utama kerja adalah pembersihan sungai, tali air dan parit bagi melancarkan aliran air, selain pembuangan kelodak, sampah serta tumbuhan liar yang menyekat aliran.
Beliau berkata, kerja-kerja lain adalah pembaikan struktur kawalan air seperti pintu air dan pembetung serta penyediaan dan pengoperasian pam mudah alih di kawasan berisiko.
“Fokus utama kerja di kawasan tumpuan air dan kawasan rendah yang sering terjejas semasa hujan lebat bagi memastikan sistem saliran berfungsi dengan baik.
“Langkah penyelenggaraan berterusan ini sangat penting untuk mengurangkan risiko limpahan dan banjir kilat serta memastikan kesiapsiagaan infrastruktur saliran berada pada tahap terbaik menjelang musim tengkujuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan kebimbangan penduduk, yang mana rumah mereka tetap dinaiki air meskipun usaha mitigasi banjir seperti kerja-kerja mengorek tali air sudah dilakukan dan berharap kedatangan musim tengkujuh tidak mengakibatkan banjir seburuk tahun-tahun sebelumnya.
Menurut Hanafiah, langkah-langkah mitigasi yang dilaksanakan menunjukkan kesan positif dalam mengurangkan impak banjir yang melanda negeri ini saban tahun.
Katanya, di beberapa kawasan tumpuan seperti Bandar Kuala Terengganu dan Chukai, Kemaman, genangan air lebih cepat surut selepas hujan lebat berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Ujarnya, ia membuktikan kerja-kerja pembersihan, penyelenggaraan saliran dan baik pulih pintu air serta pam meningkatkan kecekapan sistem sedia ada.
“Selain itu, pelaksanaan projek tebatan banjir seperti Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kemasik dan RTB Gong Kiat di Kemaman serta RTB Sungai Nail di Besut turut menyumbang kepada pengurangan risiko banjir dan membantu mempercepat aliran air keluar ke laut semasa hujan berterusan.
“Kita sedar banjir tidak dapat dielakkan sepenuhnya kerana ia bergantung kepada faktor semula jadi seperti hujan luar biasa dan air pasang besar. Namun, yang penting adalah memastikan sistem saliran dan infrastruktur kawalan air berfungsi dengan baik, supaya kesannya tidak terlalu besar kepada rakyat serta air dapat surut dengan cepat,” katanya. – UTUSAN










