Ribut petir sebelah petang dijangka landa seluruh negara minggu ini - Utusan Malaysia

Ribut petir sebelah petang dijangka landa seluruh negara minggu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ribut petir dijangka melanda kebanyakan kawasan di seluruh negara pada waktu petang dan awal malam sepanjang minggu ini susulan fasa peralihan monsun yang sedang berlaku.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya memaklumkan, negeri yang berpotensi terjejas termasuk Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Menurut MetMalaysia, fasa peralihan monsun yang bermula pada 30 September lalu dijangka berterusan sehingga November 2025, menyebabkan rantau negara menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.

“Keadaan ini kondusif untuk pembentukan awan kumulonimbus yang meningkatkan potensi berlakunya ribut petir, lazimnya pada sebelah petang dan awal malam, terutama di kawasan barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak,” katanya.

Beberapa kawasan pantai timur seperti di Kelantan melibatkan daerah Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai, manakala di Terengganu membabitkan Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu turut dijangka terjejas.

Di Sabah, kawasan barat seperti Papar, Tuaran, Kota Belud dan Putatan berisiko mengalami keadaan cuaca tidak menentu.

MetMalaysia turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada kerana ribut petir berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan struktur tidak kukuh. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN