PETALING JAYA: Lebuhraya Kajang–Seremban Sdn Bhd (Lekas) memaklumkan penutupan penuh sementara dari pukul 5 petang pada 11 Oktober 2025 hingga pukul 4 pagi pada 12 Oktober 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Lekas, Wan Salwani Wan Yusoff berkata, penutupan itu bagi memberi laluan kepada acara berbasikal, RHB LEKAS Highway Ride 2025, yang kini memasuki edisi ke-10.
Katanya, acara tahun ini akan menyaksikan penyertaan 6,017 orang peserta dari 23 negara, mencerminkan pertumbuhan berterusan dan daya tarikan antarabangsa acara berprestij ini.
“Kira-kira 9 persimpangan melibatkan 20 laluan masuk dan keluar akan ditutup sepanjang acara berlangsung bagi memastikan perjalanan yang lancer dan selamat untuk semua peserta.
“Penutupan ini meliputi jajaran dari Persimpangan Kajang Selatan hingga ke Persimpangan Paroi,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Wan Salwani, bagi mengurangkan kesulitan kepada pengguna jalan raya, laluan alternatif telah dikenal pasti untuk digunakan sepanjang tempoh penutupan.
“Pengguna dari arah utara dan selatan yang datang dari Kuala Lumpur, Cheras, Kajang, Seremban, Senawang, dan Kuala Pilah dinasihatkan menggunakan Laluan Persekutuan atau Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) untuk meneruskan perjalanan.
“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan agar mematuhi semua arahan keselamatan trafik dan merancang perjalanan lebih awal,” katanya.-UTUSAN










