KUALA TERENGGANU: Majlis Menteri Besar SG4 (Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis) menegaskan bahawa semua sumber mineral nadir bumi (REE) yang terdapat di dalam sempadan negeri adalah hak milik negeri sebagaimana termaktub di bawah Jadual Kesembilan (9) Perlembagaan Persekutuan.
Majlis itu dalam satu kenyataan berkata, memandangkan gabungan empat negeri berkenaan mewakili 70 peratus sumber REE terbesar negara, SG4 komited memastikan hasil kekayaan bumi itu diurus secara bertanggungjawab, lestari dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat serta generasi akan datang.
Katanya, setiap negeri di bawah SG4 kini melaksanakan kajian terperinci dan membangunkan pelan strategik pengurusan serta pembangunan REE yang diselaraskan secara bersama.
“Pelan ini meliputi aspek eksplorasi, perlombongan lestari, pengurusan alam sekitar, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan tempatan. Polisi semasa juga menetapkan mineral kritikal ini kekal di dalam SG4 dengan menarik penyertaan pelbagai pihak industri serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat sendiri,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu, SG4 menyokong aspirasi Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan ekosistem huluan, pertengahan dan hiliran dalam industri nadir bumi Malaysia dengan memahami keperluan untuk mewujudkan rantaian nilai menyeluruh.
Namun, katanya, sebarang perancangan nasional mesti mengambil kira kedudukan negeri-negeri pemilik sumber dan tidak boleh dilakukan tanpa libat urus rasmi bersama kerajaan negeri.
“SG4 sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam semangat federalisme yang adil dan saling menghormati.
“Namun, kami juga menuntut agar pengalaman lampau berhubung perjanjian royalti minyak tidak berulang dalam konteks industri REE. Pengurusan dan pembahagian hasil perlu berasaskan prinsip ketelusan, keadilan dan perkongsian keuntungan yang seimbang,” katanya.
Sementara itu, SG4 berpandangan bahawa pembangunan industri REE negara harus dilaksanakan di negeri pemilik sumber tersebut supaya limpahan ekonomi dan ekosistem industri turut dinikmati rakyat setempat.
Katanya, hasil negeri juga tidak boleh terhad kepada royalti semata-mata tetapi mesti melibatkan penyertaan ekuiti, perkongsian keuntungan dan pemindahan teknologi yang nyata kepada negeri dan rakyatnya.
“SG4 juga menyeru agar sebarang pelan pembangunan REE peringkat nasional serta rundingan antarabangsa menghormati hak negeri dan menyertakan wakil negeri-negeri sumber dalam setiap peringkat perancangan dan pelaksanaan,” katanya. – UTUSAN









