KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM350,000 ke atas seorang bekas pembantu penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM35,000, tiga tahun lalu.
Hakim Mohd Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu ke atas Abol As Mohd. Jamil, 45, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dan tertuduh gagal mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta SPRM 2009.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Abol As didakwa meminta serta menerima wang tunai berjumlah RM35,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk menurunkan seksyen pertuduhan kepada hukuman lebih ringan bagi kes yang dijalankan di Mahkamah Sesyen di sini.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus pada 27 Julai dan 3 Ogos 2022.
Bagi kesalahan berkenaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM175,000 bagi pertuduhan pertama manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh dikenakan penjara 12 bulan dan denda RM175,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak, menjadikan tempoh keseluruhan penjara setahun, bermula hari ini. – UTUSAN










