KUALA LUMPUR: Rakyat diingatkan supaya berhati-hati dengan komen atau retorik politik yang tidak berpaksikan realiti.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, sebaliknya orang ramai perlu bersikap lebih rasional dalam menilai sesuatu janji.
“Ini sindrom orang yang bercakap ikut sedap. Waktu dia (Perikatan Nasional) ada peluang, dia tak buat. Waktu dia tak ada kuasa, baru dia buat.
“Kalau dulu dia buat pun, bukan guna duit sendiri, tetapi guna dana daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Muda ASEAN 2025 ke-10 di sini.
Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) berjanji akan memperkenalkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sekiranya diberi mandat menjadi kerajaan dengan pemberian tunai sehingga RM6,000 setahun atau RM500 sebulan kepada isi rumah berpendapatan rendah.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, rakyat akan diberi kebebasan untuk berbelanja menggunakan bantuan tersebut.
Muhammad Kamil berkata lagi, perbelanjaan kerajaan daripada sudut bantuan telah meningkat lebih daripada satu kali ganda berbanding tiga tahun sebelum ini.
“Kalau dahulu , Bantuan Prihatin Nasional (BPN) itu bantuannya maksimum RM2,000. Hari ini Sumbangan Tunai Rahmah (STR) maksimum yang boleh diterima oleh sebuah keluarga atau sebuah isi rumah itu mencecah RM4,600.
“Maksudnya ada kenaikan daripada segi bantuan diberikan. Perkara ini jangan dinafikan kenaikan itu disebabkan oleh kebencian politik,” ujarnya. – UTUSAN










