Qaiyum intai emas di Sukan SEA

Qaiyum intai emas di Sukan SEA

MUHAMMAD Abdul Qaiyum Ariffin, (kiri) menjalani latihan bagi persiapan ke Sukan SEA 2025
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petinju negara, Muhammad Abdul Qaiyum Ariffin yakin mampu membawa pulang pingat emas di Sukan SEA 2025, biarpun bakal menerima saingan sengit atlet tuan rumah.

Abdul Qaiyum berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada pengalamannya yang beraksi di dua edisi terakhir Sukan SEA, sekali gus yakin penampilannya kali ini bakal membuahkan hasil lebih manis.

“Sukan SEA pertama saya cuma bawa balik pengalaman, yang kedua dapat gangsa. Kali ini, Insya-Allah, saya sasarkan emas.

“Saya harap pencapaian kali ini lebih baik daripada sebelum-sebelum ini,” katanya kepada pemberita.

Atlet yang beraksi dalam kategori 51 kilogram itu berkata, persiapan kali ini lebih menyeluruh dengan penekanan bukan sahaja terhadap aspek fizikal, tetapi juga kekuatan mental.

“Kalau sebelum ini saya banyak fokus pada latihan fizikal, kali ini saya beri tumpuan sama rata kepada persediaan mental juga.

“Fizikal saya berikan 100 peratus, tapi mental sebelum ni mungkin 60 peratus sahaja. Sekarang dua-dua saya naikkan seiring,” katanya.

Mengulas mengenai lawan yang dijangka memberi cabaran sengit, Qaiyum mengakui petinju dari Thailand dan Filipina antara yang perlu diberi perhatian.

“Tinju ni sukan individu. Tak boleh nak kata satu negara tu kuat semua. Tapi bagi saya, dua negara tu antara paling mencabar,” katanya.

Pada edisi lalu di Kemboja, skuad tinju negara membawa pulang tiga gangsa menerusi Muhd. Abdul Qaiyum Ariffin (51kg), Mohd. Ridzuan Johari (60kg) dan Indran Rama Khrisnan (86kg).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN