Program inap desa jana lebih RM39 juta, terima 620,000 pelancong

Program inap desa jana lebih RM39 juta, terima 620,000 pelancong

AHMAD Zahid Hamidi ketika mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Inap Desa Kali Ke-3 Bil. 2 Tahun 2025 di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) berjaya menjana pendapatan lebih RM39.83 juta dengan menerima lebih 620,000 pelancong ke inap desa di seluruh negara setakat Ogos lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara negeri dengan jumlah pelancong tertinggi ialah Sabah, Johor dan Pahang.

Katanya, bagi mengukuhkan lagi sumbangan sektor inap desa kepada ekonomi negara, kerajaan memperkenalkan beberapa langkah strategik melalui langkah-langkah pemasaran dan promosi antarabangsa.

“Ini seperti misi jualan, pameran dan seminar di pasaran sasaran seperti Indonesia, China, Korea, Jepun, Vietnam dan New Zealand.

“Platform digital jomhomestay.my dan go2homestay.my diperkasa bagi memudahkan tempahan pelancong,” katanya dalam kenyataan hari ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Inap Desa Kali Ke-3 Bil. 2 Tahun 2025.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan optimis pendapatan melalui sektor inap desa ini akan mencapai sehingga RM200 juta pada tahun 2026, seterusnya menyumbang lebih signifikan kepada sasaran 5 juta pelancong menjelang 2030, sekali gus memperkukuh ekonomi desa dan imej Malaysia di pentas global.

Ahmad Zahid berkata, terdapat lebih 12 skim pembiayaan serta geran kerajaan yang ditawarkan kepada pengusaha inap desa melalui agensi seperti TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Bank, Bank Rakyat dan SPED.

Katanya, inisiatif ini bukan sahaja membuka ruang kepada pengusaha untuk meningkatkan kualiti premis dan memperkayakan pengalaman pelancong, malah turut memperkukuh daya saing serta menjamin kelestarian produk komuniti di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Untuk edu-tourism dan pertukaran pelajar antarabangsa, pakej pelancongan pendidikan di inap desa kini menyasarkan pelajar dari Jepun, Korea, China, Vietnam, Singapura dan Indonesia.

“Program pertukaran pelajar juga diperluas untuk menjadikan Malaysia destinasi edu-tourism unggul di rantau ini termasuk menawarkan kerjasama dengan institusi di Kementerian Pendidikan Tinggi dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM),” katanya.

Pada masa sama, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah meluluskan peruntukan lebih RM1.1 juta bagi baik pulih jalan perhubungan desa dan kemudahan komuniti demi menyokong ekosistem inap desa.

Selain itu, tumpuan khusus turut diberikan kepada pengusaha wanita melalui program TVET JELITA dan Latihan Pengoperasian Homestay yang dijalankan oleh INFRA (KKDW) berasaskan TVET dengan penganugerahan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 2 dan 3.

“Ini khususnya dalam bidang keusahawanan sektor inap desa. Inap desa adalah nadi penghubung antara pelancong dan komuniti desa.

“a bukan sahaja menjana pendapatan, bahkan melestarikan budaya, memperkukuh perpaduan, serta membuka peluang baharu untuk generasi muda,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN