PN sukar bentuk kerajaan jika BN, PH dan Warisan bergabung

PN sukar bentuk kerajaan jika BN, PH dan Warisan bergabung

MAZLAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasrat Perikatan Nasional (PN) menawan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada pilihan raya negeri akan datang sukar jika Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Warisan bergabung di bawah Kerajaan Madani.

Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, gabu­ngan tiga blok besar itu bakal menjadi cabaran utama kepada PN yang kini perlu bergantung kepada kerjasama parti-parti tempatan bagi memperkukuh pengaruh di Sabah.

Katanya, strategi PN me­nyasarkan 36 kerusi itu me­nunjukkan kesediaan gabungan berkenaan untuk bekerjasama dengan parti-parti tempatan namun persoalan mengenai parti mana yang akan menjadi sekutu politiknya masih belum terjawab.

“Agak sukar untuk mengatakan sama ada PN boleh membentuk kerajaan negeri kerana ketika ini BN dan PH bergabung sebagai satu gabungan dan khabarnya Warisan juga akan bekerjasama dengan Kerajaan Madani. Ini akan memberi saing­an yang kuat kepada PN.

“Bertanding 36 kerusi itu pada saya satu strategi yang baik kerana ada kemungkinan baki daripada jumlah kerusi itu PN akan beri laluan kepada parti-parti tempatan Sabah cuma tidak dinyatakan parti mana itu.

“Kalau GRS atau Warisan be­kerjasama dengan PN, itu boleh dikatakan memberi situasi yang agak baik kepada PN. Tapi kalau Warisan bersama Kerajaan Madani, maka agak sukar sedikitlah untuk PN membentuk kerajaan negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini me­laporkan, PN menyasarkan untuk bertanding di 36 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah sekali gus memberi bayangan kesediaan gabungan itu untuk mentadbir negeri berkenaan sekiranya diberi mandat oleh rakyat.

Mazlan berkata, langkah PN untuk bekerjasama dengan parti-parti tempatan disifatkan sebagai pendekatan yang realistik bagi menarik sokongan pengundi Sabah memandangkan parti itu terdiri daripada komponen dari Semenanjung iaitu Pas dan Bersatu.

Bagaimanapun, katanya, per­saingan dijangka sengit memandangkan BN dan PH juga dijangka mengatur kerjasama yang boleh menggugat peluang PN.

“BN dan PH dijangka mewujudkan persaingan sengit kerana kedua-dua gabungan itu berkemungkinan akan bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN