SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan menerusi jaringan diplomatik dengan beberapa negara bagi membebaskan peserta Malaysia yang ditahan tentera Israel.
Ketua Pengarah, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr. Sani Araby Abdul Halim berkata, Perdana Menteri menghubunginya sekitar pukul 9.38 pagi tadi dan memberi komitmen penuh bahawa Malaysia akan bertindak sedemikian bagi memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia itu.
“Perdana Menteri menyatakan akan menghubungi rakan sejawat beliau termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi dan kepimpinan Arab Saudi.
“Kita mohon beliau (Anwar) dapat mewakili suara rakyat Malaysia melalui laluan diplomatik dan hubungan erat dengan negara-negara besar termasuk United Kingdom serta Sepanyol,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Sani Araby berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya tindakan penahanan flotila tersebut walaupun ia sudah dijangkakan.
“Insiden itu disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan kerana mereka membawa bantuan kemanusiaan dan tidak melanggar sebarang undang-undang antarabangsa.
“Kami menegaskan misi ini bersifat kemanusiaan sepenuhnya dan tidak melibatkan sebarang unsur provokasi ketenteraan.
“Kami yakin semua delegasi Malaysia kini diperlakukan dengan baik berdasarkan maklumat yang diterima secara langsung daripada mereka,” katanya. – UTUSAN