PETALING JAYA: Perpaduan merupakan aset paling berharga bagi masyarakat majmuk di negara ini kerana ia menyatukan masyarakat dalam suasana harmoni walaupun berbeza kaum, agama dan budaya.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, beliau teruja kerana dapat bersama-sama meraikan pesta cahaya itu bersama kepemimpinan tertinggi kerajaan.
“Kerajaan Madani amat menghargai semangat muhibah yang tidak ternilai ini, selaras aspirasi Malaysia Madani berteraskan nilai-nilai kemanusiaan, keadilan dan kesejahteraan demi masa depan yang lebih cerah untuk seluruh rakyat.
“Mengambil inspirasi daripada falsafah Deepavali yang meraikan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, semoga Malaysia terus makmur dan maju untuk kita semua,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook, hari ini.
Terdahulu, beliau turut berpeluang meraikan sambutan Deepavali dengan menerima kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterI Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ke rumahnya.
Yang hadir sama. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook. – UTUSAN










