PM beri amaran keras kepada King Sing

PM beri amaran keras kepada King Sing

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berhubung isu menghidangkan arak di acara rasmi kerajaan.

Perdana Menteri juga meminta supaya kesilapan sama tidak berulang lagi kerana bertentangan dengan prinsip kerajaan.

Beliau berkata, penjelasan kementerian itu bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas selesai acara rasmi adalah tidak wajar kerana dasar kerajaan secara tegas tidak membenarkan ia dihidangkan sama sekali.

“Penjelasan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) ialah, ini (minuman itu dihidangkan) setelah selesai acara rasmi, tapi tempat dan majlis yang sama.

“Kami telah berikan peringatan keras kepada menteri dan kementerian supaya tidak mengulangi kesilapan ini walaupun penjelasan itu adalah bahawa program berakhir, tetapi tidak wajar sama sekali,” katanya seperti dilaporkan Bernama, hari ini.

Terdahulu, tular gambar memaparkan program Global Travel Meet 2025 Gala Dinner Tourism Malaysia yang menyajikan minuman beralkohol.

Bagaimanapun, King Sing dalam penjelasannya memaklumkan bahawa majlis tersebut merupakan inisiatif pihak industri dan sektor swasta, manakala Tourism Malaysia hanya menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua setengah hari.

Tambahnya lagi, acara selama dua hari setengah dianjurkan dengan inisiatif pihak industri serta sektor swasta itu berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilapor akan membawa isu berkenaan ke mesyuarat Kabinet untuk dibincangkan.

“Saya sendiri akan membawa ke mesyuarat Jemaah Menteri atas ketidaksetujuan UMNO. Sebagai presiden parti, kita menolak 100 peratus,” katanya sambal menyifatkan tindakan tak wajar dan bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×