PETALING JAYA: Perlis Inland Port (PIP), sebuah perbandaran seluas 500 hektar berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar dan Lembah Chuping, menjadi projek pertama di bawah inisiatif pembangunan baharu negeri Perlis.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pembangunan PIP bakal menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negeri, selain memperkukuh jaringan perdagangan antarabangsa di rantau ini.
“PIP mudahkan perdagangan rentas sempadan antara Malaysia, Thailand, Lembah Sungai Mekong dan China yang merupakan ekosistem logistik dan perindustrian lengkap serta antara yang terbesar di Asia.
“Pembinaannya sampai ke penghujungnya, insya-Allah, akan mula beroperasi November ini,” titah baginda ketika merasmikan Majlis Apresiasi Penaja Sisipan Khas dalam Akhbar Tempatan sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Raja Perlis di Luminare Hall, PJ Trade Centre, Damansara Perdana, semalam. Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda bertitah, projek kedua yang bakal merancakkan pembangunan negeri ialah Pelabuhan Sanglang di Koridor Maritim Perlis yang merentangi kawasan sepanjang 11 kilometer.
Menurut baginda, kerja tanah bagi Pelabuhan Sanglang dijangka bermula seawal penggal pertama tahun 2026, menandakan permulaan era baharu pembangunan maritim negeri Perlis.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada penaja sisipan khas akhbar tempatan, sebagai tanda kasih dan kesetiaan rakyat terhadap institusi diraja.
“Penajaan melambangkan taat setia tidak berbelah bahagi dan kasih tulus rakyat. Semoga ia menambah tekad beta membawa kemakmuran kepada negeri Perlis dan manfaat kepada negara,” titah baginda. – UTUSAN










