Pinjaman kerajaan Persekutuan kekal instrumen fiskal utama biayai defisit, hutang matang - Utusan Malaysia

Pinjaman kerajaan Persekutuan kekal instrumen fiskal utama biayai defisit, hutang matang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PINJAMAN Kerajaan Persekutuan kekal sebagai instrumen fiskal utama untuk membiayai defisit dan membiayai semula hutang matang, menurut laporan Tinjauan Ekonomi.

Menurut laporan, pada 2025, jumlah pinjaman kasar dianggarkan terus berkurang kepada RM184 bilion atau 9.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negar Kasar (KDNK) (2024: RM197.5 bilion; 10.2 peratus daripada KDNK) yang diperoleh sepenuhnya menerusi pasaran modal domestik selaras dengan usaha konsolidasi fiskal.

“Daripada jumlah ini, RM106.8 bilion diperuntukkan untuk bayaran balik hutang yang akan matang manakala RM76.7 bilion untuk pembiayaan defisit. Bayaran balik hutang yang akan matang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) sebanyak RM46.5 bilion.

“Selain itu, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) RM37 bilion, Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) RM5 bilion, Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) RM13.5 bilion dan penebusan luar pesisir RM4.8 bilion termasuk sukuk global AS$1 bilion,” menurut laporan.

Menurut laporan, kerajaan dapat memenuhi keperluan pembiayaan dan aliran tunai dengan cekap menerusi terbitan instrumen hutang dalam denominasi ringgit disokong oleh pasaran modal hutang domestik yang kukuh dan berkecairan tinggi.

“Pada 2025, jumlah terbitan MGS dianggarkan sebanyak RM82.5 bilion atau 44.9 peratus daripada jumlah pinjaman kasar tahunan dan MGII sebanyak RM88 bilion atau 47.8 peratus,” katanya.

Sementara itu, MTB dan MITB dijangka berkurang kepada RM4.5 bilion (2.4 peratus) dan RM9 bilion (4.9 peratus).

“Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, RM126 bilion atau 68.5 peratus daripada jumlah pinjaman kasar tahunan telah diterbitkan melalui 25 terbitan MGS dan MGII berjumlah
RM119.5 bilion serta enam terbitan MTB dan MITB berjumlah RM6.5 bilion.

“Terimaan pinjaman tersebut telah digunakan bagi bayaran balik hutang matang berjumlah RM50.8 bilion manakala baki RM75.2 bilion telah diperuntukkan untuk membiayai defisit dan hutang yang akan matang dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sementara itu, kerajaan menggunakan Fully Automated System for Issuing/Tendering (FAST) untuk penerbitan, pentenderan dan peruntukan sekuriti kerajaan bagi memastikan ketelusan dan keadilan.

Pada 2025, dianggarkan 82.4 peratus daripada jumlah pinjaman diperoleh melalui lelongan awam secara bidaan kompetitif manakala baki pinjaman diperoleh menerusi tawaran persendirian terutamanya melibatkan terbitan jangka panjang selaras dengan keutamaan pelabur strategik.

Selain itu, RM90 bilion dijangka diterbitkan melalui pembukaan semula sembilan kertas hutang sedia ada manakala RM80.5 bilion melalui tujuh terbitan baharu.

“Pendekatan ini selaras dengan usaha mengurangkan bilangan kertas hutang terkumpul sekali gus meningkatkan kebolehdagangan sekuriti kerajaan di samping mewujudkan penanda aras baharu dalam persekitaran kadar faedah yang lebih rendah,” katanya.

Dalam pada itu, profil kematangan hutang yang terurus bukan sahaja berupaya mengawal risiko pembiayaan semula bahkan memenuhi pelbagai keperluan pelabur. Sehubungan itu, Kerajaan menerbitkan pelbagai kertas hutang merangkumi terbitan jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Penerbitan kertas hutang jangka pendek dan jangka sederhana dianggarkan berkurang kepada 7.3 peratus dan 32.6 peratus daripada jumlah pinjaman kasar (2024: 11.4 peratus; 36.9 peratus),” katanya.

Sementara itu, penerbitan kertas hutang jangka panjang dijangka meningkat kepada 60.1% pada 2025 (2024: 51.7 peratus) antaranya disebabkan oleh spread kadar hasil antara tempoh matang yang semakin mengecil.

Justeru, purata wajaran tempoh matang bagi terbitan keseluruhan 2025 dianggarkan pada 12.6 tahun (2024: 11.6 tahun) sejajar dengan strategi pengurusan hutang Kerajaan untuk mengimbangi kos pembiayaan dan mengurus profil kematangan hutang di samping mengurangkan risiko pembiayaan semula.

Pada September 2025, Rizab Persekutuan AS (Fed) telah mengurangkan Federal Funds
Rate (FFR) sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 4.00 peratus hingga 4.25 peratus yang merupakan pengurangan FFR pertama pada tahun ini.

Susulan itu, perubahan jangkaan terhadap keputusan Fed di samping kecenderungan menghindari peningkatan risiko berikutan rundingan perdagangan dan ketegangan geopolitik telah mendorong pelabur menyesuaikan portfolio.

Pada peringkat domestik, Jawatankuasa Dasar Monetari mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dengan kadar 2.75 peratus selepas pemotongan 25 bps pada Julai 2025.

Langkah ini bertujuan bagi melindungi trajektori pertumbuhan Malaysia ketika ketidaktentuan luaran dan prospek inflasi yang sederhana.

“Faktor tersebut secara kolektif menyokong aliran masuk pelaburan bukan pemastautin sebanyak RM15.9 bilion terhadap sekuriti kerajaan Persekutuan sepanjang lapan bulan pertama 2025 seterusnya menyumbang kepada penurunan kadar hasil bon tempatan.

“Aliran masuk bersih yang berterusan dan kadar hasil yang lebih rendah mencerminkan keyakinan kukuh pelabur terhadap kedudukan fiskal serta kestabilan makroekonomi Malaysia,” katanya.

Dalam tempoh lapan bulan pertama 2025, kadar hasil penanda aras MGS untuk tempoh matang tiga hingga 10 tahun berkurang antara 43 hingga 54 bps manakala kadar hasil MGII dengan tempoh matang yang sama berkurang antara 31 hingga 49 bps.

Trend pengurangan kadar hasil tersebut menunjukkan permintaan pasaran yang kukuh terhadap kertas hutang penanda aras yang didorong oleh persekitaran inflasi yang rendah dan jangkaan terhadap pelonggaran dasar monetari.

Oleh itu, purata wajaran kos pinjaman berkurang kepada 3.79 peratus dalam tempoh tersebut (Januari – Ogos 2024: 3.90 peratus).

Kerajaan menerima bidaan berjumlah RM267.6 bilion bagi terbitan jangka sederhana dan panjang iaitu sebanyak RM98.5 bilion bagi tempoh lapan bulan pertama 2025.

Bidaan dengan nisbah bidaan kepada terbitan (BTC) yang menggalakkan iaitu 2.72 kali
(Januari – Ogos 2024: 2.36 kali) mencerminkan permintan pelabur yang tinggi terhadap sekuriti kerajaan.

Permintaan yang lebih kukuh telah dicatatkan terhadap sekuriti jangka panjang dengan nisbah BTC 2.73 kali berbanding 2.70 kali bagi instrumen jangka sederhana (Januari – Ogos 2024: 2.26 kali, 2.45 kali) disokong oleh penyertaan pelabur yang luas.

Malaysia mengekalkan kedudukan kukuh dalam pasaran sukuk global dengan mencatatkan sebanyak 32.1 peratus daripada jumlah sukuk global terkumpul sehingga Ogos 2025. Jumlah terbitan instrumen patuh Syariah yang tinggi menandakan komitmen Kerajaan terhadap pasaran modal Islam Malaysia.

Sehubungan itu, terbitan patuh Syariah yang terdiri daripada MGIl dan MITB dijangka mencapai 52.7 peratus daripada jumlah pinjaman kasar pada 2025.

Peningkatan terbitan instrumen tersebut diterima baik oleh pasaran yang diperkukuh oleh asas pelabur lebih luas dalam aset patuh Syariah.

Permintaan menggalakkan dibuktikan oleh BTC MGII yang lebih tinggi iaitu 2.89 kali berbanding 2.52 kali bagi MGS sepanjang lapan bulan pertama 2025 (Januari – Ogos 2024: 2.64 kali; 2.09 kali). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×