JOHOR BAHRU: Rang Undang-Undang (RUU) Sewa Beli (Pindaan) 2025 yang diluluskan baru-baru ini dapat memastikan sistem pembiayaan pengguna menjadi lebih adil, telus dan selamat.
Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Datuk Yeo Kok Vui berkata, langkah itu merupakan sebahagian kerangka besar reformasi ekosistem kredit pengguna yang sedang dilaksanakan kerajaan.
Katanya, pindaan Akta Sewa Beli 1967 (Akta 212) itu akan memberi impak positif kepada pengguna kredit khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang sering menggunakan kaedah sewa beli bagi memiliki kenderaan dan barangan keperluan.
“Pindaan ini akan memastikan pengguna tidak lagi menanggung caj faedah berlebihan menggunakan kaedah sedia ada. Selain itu juga ia menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengiraan kadar faedah,” katanya pada Majlis Anugerah Pilihan Pengguna 2025 kali ke-20 di Taman Daya, di sini semalam.
Menurut Kok Vui, pindaan itu juga akan meningkatkan tadbir urus industri kredit pengguna agar lebih beretika dan berorientasikan kepentingan awam selain menyokong penggunaan teknologi digital dalam sektor kewangan.
Beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Pengguna Negara (MPPN) berkata, usaha itu dilihat mampu memperkukuh perlindungan pengguna melalui pendekatan dasar yang seimbang antara kepentingan pengguna dan industri. – UTUSAN







