RUU Sewa Beli (Pindaan) 2025 diluluskan Dewan Rakyat

RUU Sewa Beli (Pindaan) 2025 diluluskan Dewan Rakyat

ARMIZAN MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Sewa Beli (Pindaan) 2025 yang memansuhkan penggunaan kadar sama rata dan kaedah Peraturan 78 bagi pinjaman sewa beli kadar tetap diluluskan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pemansuhan sistem kadar rata dan Peraturan 78 dibuat kerana dianggap tidak adil serta membebankan peminjam.

“Rasional pindaan ini adalah untuk memastikan caj faedah tidak memudaratkan peminjam khususnya mereka yang membuat penyelesaian awal pinjaman.

“Kaedah kadar faedah efektif dan pengurangan baki akan diperkenalkan bagi memastikan pengiraan ansuran bulanan lebih adil serta telus sebagai ganti,” katanya di Dewan Rakyat.

RUU itu diluluskan selepas dibahas 20 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Dalam pada itu, Armizan berkata, penggunaan kadar faedah efektif dapat meningkatkan ketelusan dalam penilaian dan pemasaran pinjaman sewa beli, sekali gus membolehkan pengguna membuat perbandingan pakej pinjaman dengan lebih tepat.

Beliau berkata, kaedah pengurangan baki pula memastikan kadar faedah hanya dikenakan ke atas baki pinjaman yang belum dijelaskan, berbeza dengan kaedah lama yang lebih menumpukan pembayaran faedah pada peringkat awal pinjaman.

“Pendekatan ini memanfaatkan pengguna dengan membolehkan mereka membandingkan kos sebenar pelbagai produk pinjaman, merancang kewangan dengan lebih baik serta mengenal pasti kos tersembunyi termasuk faedah terkompaun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN