Piala ASEAN FIFA bakal diperkenal

Piala ASEAN FIFA bakal diperkenal

GIANNI Infantino (kiri) di Majlis Menandatangani ASEAN-FIFA Memorandum Persefahaman sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini. Gambar ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bakal memperkenalkan pertandingan baharu dikenali sebagai Piala ASEAN FIFA menerusi pembaharuan semula Perjanjian Persefahaman (MoU) ASEAN-FIFA .

Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata, piala berprestij itu akan dianjurkan bersama untuk rantau ini dengan penyertaan kesemua 11 negara ASEAN.

“Kami melancarkan pertandingan ini bagi memberikan rangsangan sebenar kepada bola sepak serantau dengan kehadiran pemain-pemain terbaik, selaras dengan kalendar perlawanan antarabangsa FIFA.

“Langkah ini bertujuan memastikan bola sepak di rantau ASEAN benar-benar memberi impak dan mampu menyerlah di pentas dunia,” katanya selepas majlis menandatangani MoU berkenaan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Infantino berkata, bola sepak berperanan menyatukan dunia dan melalui kerjasama dengan ASEAN, FIFA berharap dapat memperkukuh semangat perpaduan serantau.

“FIFA menyatukan dunia bersama semua 11 negara ASEAN. Kami mencipta Piala ASEAN FIFA dan ia akan menjadi kejayaan besar di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata, FIFA mahu meneruskan kerjasama dengan ASEAN berasaskan tiga prinsip utama, iaitu integriti, persekitaran yang selamat dan terjamin, serta pendidikan.

“Pertama, integriti dalam permainan. Kedua, mewujudkan persekitaran yang selamat dan terjamin bagi setiap perlawanan.

“Ketiga, pendidikan, di mana melalui bola sepak, kita dapat memperkukuh aspek pendidikan dalam pembangunan sukan ini untuk lelaki dan wanita di seluruh rantau.

“Rantau ini, seperti yang kita sedia maklum, penuh dengan semangat terhadap bola sepak.

“Kami mempunyai kira-kira 700 juta peminat bola sepak di seluruh ASEAN, dan dengan tonggak-tonggak utama dalam MoU ini, kami mahu melakukan lebih banyak lagi serta membina kejayaan bersama,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, kerjasama antara FIFA dan ASEAN bakal membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh pembangunan bola sepak di rantau ini, khususnya dalam kalangan belia dan komuniti luar bandar.

“Dalam konteks sukan rakyat, khususnya dalam kalangan belia serta sukan yang digemari ramai, ia merupakan keutamaan bagi rantau ini dalam usaha membina barisan pemimpin baharu.

“Usaha ini juga bertujuan memberi pendedahan dan latihan kepada mereka dan saya amat berterima kasih kepada FIFA untuk galakan serta sokongan yang diberikan.

“FIFA mempunyai kepakaran dan pengalaman luas yang boleh dikongsi bersama golongan muda, terutamanya segmen masyarakat kita seperti belia di bandar, mereka di luar bandar serta para atlet agar mereka turut menerima galakan, peluang dan sokongan yang sama,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×