RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) menambah lapan lagi pos baharu di dalam usaha membendung aktiviti penyeludupan di sepanjang Sungai Golok terutama di Rantau Panjang dan Tumpat, dekat sini selepas perobohan pangkalan haram.
Pemangku Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, cadangan itu sudah diangkat ke Bukit Aman dan kini dalam pemerhatian pihak berkaitan, namun perlu melalui beberapa proses sebelum keputusan muktamad dibuat.
Menurutnya, lokasi lapan pos tambahan baharu yang dicadangkan antaranya di Jeram Perdah, Rantau Panjang dan Pulau Tengkorak, Tumpat apabila kedua-dua kawasan tersebut dikesan sering menjadi laluan penyeludup.
“Setakat ini, cadangan pembinaan lapan pos baharu sudah dibuat oleh PGA. Kita berharap ia diluluskan, namun semuanya bergantung kepada faktor kewangan. Jika diluluskan, PGA akan mempunyai sebanyak 20 pos di sempadan Sungai Golok selepas ini.
“Kita memerlukan pos tambahan itu bagi menyokong penugasan anggota PGA di pos yang sedia ada. Buat masa ini, dua daripada 12 pos sudah selesai dinaik taraf untuk menempatkan semula anggota PGA,” katanya selepas mengadakan lawatan penugasan anggota PGA di pangkalan haram Syed Agil, di sini hari ini.
Ijid Landu memberitahu, 10 lagi pos sedang menjalani proses kerja awalan dan proses itu mencecah hampir 90 peratus sebelum ia dibaik pulih. – UTUSAN









