SEJUMLAH RM419.2 bilion jumlah perbelanjaan diperuntukkan dalam Belanjawan 2026 mewakili 19.7 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) iaitu peningkatan sebanyak 1.7 peratus berbanding belanjawan disemak 2025.
Menurut Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan, daripada jumlah itu sebanyak RM338.2 bilion atau 80.7 peratus diperuntukkan kepada perbelanjaan mengurus (OE), manakala baki RM81 bilion diperuntukkan kepada perbelanjaan pembangunan (DE).
“Sebahagian besar peruntukan iaitu 32.1 peratus daripada jumlah keseluruhan disalurkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pertahanan.
“Dari segi peruntukan sektor, sebanyak RM155.9 bilion atau 37.2 peratus daripada keseluruhan bajet diperuntukkan kepada sektor sosial diikuti oleh ekonomi (RM58.9 bilion atau14.1 peratus), keselamatan (RM44.5 bilion atau 10.6 peratus) dan pentadbiran am (RM20.7 bilion atau 49 peratus).
“Baki sebanyak 33.2 peratus pula diperuntukkan bagi membiayal perbelanjaan tanggungan dan bayaran pindahan,” katanya.
Jelasnya, peruntukan bagi OE berjumlah RM338 2 bilion atau 15.9 peratus daripada KDNK iaitu meningkat sebanyak 1.8 peratus daripada belanjawan disemak 2025.
“Emolumen kekal sebagai komponen terbesar OE diunjur meningkat sebanyak 5.6 peratus kepada RM109.4 bilion terutamanya disebabkan oleh pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) fasa kedua termasuk kenaikan gaji pokok 7% bagi penjawat awam Gred 15 dan ke bawah.
“Bayaran persaraan yang merangkumi 12.7 peratus daripada OE dijangka meningkat sebanyak 6.8 peratus kepada RM42.8 bilion, di mana sebanyak RM33.7 bilion atau 78.8 peratus diperuntukkan untuk pembayaran pencen. Baki peruntukan akan digunakan untuk pembayaran ganjaran dan gantian cuti rehat.
“Selain itu, subsidi dan bantuan sosial yang merangkumi 14.5 peratus daripada OE diunjur berkurang sebanyak 14.1 peratus kepada RM49 bilion pada 2026, disebabkan terutamanya oleh harga komoditi global lebih rendah dan usaha rasionalisasi subsidi termasuk pelaksanaan Program BUD195.
“Sejumlah RM58.3 bilion pula diperuntukkan bagi bayar khidmat hutang (DSC) yang mewakili 17.2 peratus daripada OE, di mana sebanyak RM57.6 bilion atau 98.8 peratus diperuntukkan untuk pinjaman domestik manakala baki untuk membiayai pinjaman luar pesisir,” katanya.
Dalam pada itu, menurut laporan itu, perkhidmatan dan bekalan iaitu perbelanjaan yang diperlukan bagi penyelenggaraan dan operasi kemudahan serta institusi awam diunjur berkurang sebanyak 5.2 peratus kepada RM40.3 bilion merangkumi 11.9 peratus daripada OE.
“Sementara itu, sebanyak RM15.8 bilion diperuntukkan untuk pemberian kepada badan berkanun. Sebahagian besar daripada dana ini laitu 69.4 peratus daripada keseluruhan peruntukan disediakan untuk 20 universiti awam dan sembilan hospital pengajar.
“Selain itu, RM9.8 billon daripada jumlah OE diperuntukkan untuk pemberian dan serahan kepada kerajaan negeri, di mana sebanyak RM7.7 bilion ialah pemberian yang termaktub dalam perlembagaan iaitu Sabah dan Sarawak terus menjadi penerima utama
“Sejumlah RM81 bilion peruntukan DE juga telah disediakan pada 2026 bagi membiayai pelaksanaan sekitar 2,300 program dan projek baharu dalam tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-13, 2026-2030 (RMK13).
“Sektor ekonomi kekal sebagai penerima terbesar iaitu 45.4 peratus diikuti oleh sosial (35.3 peratus), keselamatan (14.5 peratus) dan pentadbiran am (4.8 peratus),” katanya. – UTUSAN











