Pertikaian sempadan timbul kebimbangan ASEAN

Pertikaian sempadan timbul kebimbangan ASEAN

MOHAMAD Hasan hadir ke Mesyuarat Menteri Luar ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Konflik sempadan antara dua negara jiran telah mencetuskan kebimbangan serantau sekali gus mengingatkan semua pihak tentang betapa rapuhnya keamanan yang dinikmati selama ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dengan hasil usaha mediasi tanpa jemu, ketegangan tersebut kini reda dengan kedua-dua negara memilih jalan diplomasi dan dialog untuk menyelesaikan perbezaan. 

“Sebagai Pengerusi, Malaysia berasa rendah diri atas kepercayaan yang diberikan untuk memudah cara usaha ini dan akan terus menyokong kedua-dua pihak sepenuhnya.

“Justeru, menegakkan komitmen kita terhadap ASEAN Way amat penting ketika kita mengemudi perubahan zaman,” katanya pada ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. 

Beliau berkata, dengan kemajuan tersebut, gencatan senjata secara rasmi bakal ditandatangani serta penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN sewaktu sedang kemuncak ini. 

Katanya, pencapaian tersebut sekali gus menunjukkan pentingnya peranan utama ASEAN (ASEAN Centrality) bukan hanya dari segi geografi, tetapi budaya sesama komuniti seterusnya membentuk kepercayaan yang akhirnya membuahkan keharmonian. 

Berhubung isu Myanmar, Mohamad berkata, ia mesti dipandu dengan tekad serta penglibatan aktif kerana jika krisis yang berlaku dibiarkan tanpa diselesaikan, pelbagai masalah dalaman akan merebak ke sempadan. 

“Ini termasuk dalam bentuk jenayah rentas sempadan, kebanjiran pelarian dan ketidakstabilan ekonomi. Namun, kemajuan mesti dicapai dengan berhati-hati dan bukan dipaksa.  

“Dalam situasi yang telah lama dicengkam rasa tidak percaya, perdamaian tidak akan berlaku sekelip mata. Proses ini panjang dan mesti diterajui oleh rakyat Myanmar sendiri dengan sokongan ASEAN berdasarkan kepercayaan, bukan paksaan,” katanya.

Mohamad berkata, Pengerusi ASEAN akan datang mesti terus menunjukkan ketegasan dan tekad, berlandaskan semangat perpaduan yang menyatukan rantau ini.

“Semangat inilah yang mendorong tindakan pantas ASEAN ketika gempa bumi dahsyat melanda Myanmar awal tahun ini. Kita menghantar bantuan kecemasan dan misi kemanusiaan tambahan.

“Apabila kesukaran melanda, ASEAN mesti bertindak sebagai satu. Menangani krisis Myanmar memerlukan bukan sahaja usaha kerajaan dan masyarakat, tetapi komitmen seluruh rantau untuk membina keamanan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN