Permintaan Sharnaaz buat juri FFM34, nilai karya tanpa dipengaruhi anugerah luar - Utusan Malaysia

Permintaan Sharnaaz buat juri FFM34, nilai karya tanpa dipengaruhi anugerah luar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon terkenal, Sharnaaz Ahmad, memberi peringatan kepada barisan juri Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) agar melakukan penilaian secara adil dan telus, tanpa dipengaruhi kemenangan yang diraih seseorang pelakon atau karya di pentas anugerah luar negara.

Sharnaaz atau nama penuhnya, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 40, yang turut tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Blood Brothers: Bara Naga, berkata penilaian mestilah berdasarkan merit serta kualiti sebenar sesebuah karya tempatan.

“Saya sebenarnya tak pernah kisah untuk menang. Tetapi, satu perkara sahaja yang saya harap daripada FFM.

“Saya datang hari ini (majlis perasmian dan pengumuman Top 5 FFM 34) sebenarnya ada perkara yang saya ingin cakap.

“Jangan sibuk bila tengok ‘orang itu’ menang dekat luar, kita kena bagi ‘orang itu’ menang dekat Malaysia,” katanya ditemui selepas majlis perasmian dan pengumuman Top 5 FFM 34 di sini, malam tadi.

Pelakon filem Polis Evo 3 itu menegaskan, kemenangan di festival luar tidak seharusnya dijadikan kayu ukur oleh juri tempatan dalam membuat keputusan.

“Jadi, usahakan tanah air kita punya filem. Maaf, sebenarnya saya tak peduli pun. Jangan sebab negara lain bagi ‘dia’ menang, tapi dekat sini (anugerah tempatan) terpaksa bagi menang juga.

“Pastikan menang itu adalah satu perkara berkualiti. Kalau saya tak tercalon pun tak apa yang penting filem tanah air yang berkualiti menang. Ini Festival Filem Malaysia, bukan festival luar, hormati itu,” katanya.

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas lanjut berhubung kenyataan tersebut, Sharnaaz memilih untuk tidak memperincikan maksud sebenar sebalik teguran yang diberikan.

“Tak ada apa-apa perincian, itu hanya spontan daripada saya,” katanya ringkas.

Dalam perkembangan lain, Sharnaaz turut meluahkan rasa syukur apabila filem lakonannya, Blood Brothers: Bara Naga, meraih sebanyak 13 pencalonan pada FFM34, termasuk dalam kategori utama.

“Alhamdulillah, 13 pencalonan yang diterima ini adalah satu penghargaan buat seluruh tenaga produksi dan barisan pelakon filem ini.

“Kredit juga kepada pengarah Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra serta semua yang terbabit secara langsung atau tidak dalam menjayakan Blood Brothers. Kami juga tersenarai dalam kategori Lagu Tema Terbaik. Saya amat berharap filem ini membawa pulang kemenangan,” katanya.

Selain Sharnaaz, empat lagi nama besar turut bersaing dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik iaitu Beto Kusyairy (Reversi), Qi Razali (Babah), Aeril Zafrel (Laknat) dan Tony Eusoff (Mencari Ramlee). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN