Permintaan domestik dijangka berkembang 5.4% pada 2026 - Utusan Malaysia

Permintaan domestik dijangka berkembang 5.4% pada 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMINTAAN domestik dijangka berkembang sebanyak 5.4 peratus pada 2026 dipacu oleh peningkatan perbelanjaan sektor swasta yang mencatat 5.7 peratus, menurut Tinjauan Ekonomi 2026.

Jelasnya, aktiviti penggunaan dan pelaburan yang kukuh mengekalkan sumbangan signifikan sektor swasta sebanyak 4.5 mata peratusan (ppt) kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Sementara itu, perbelanjaan awam dijangka meningkat sebanyak 4.4 peratus dan menyumbang 0.8 ppt kepada pertumbuhan keseluruhan,” katanya.

Tinjauan itu berkata, penggunaan swasta diunjur berkembang sebanyak 5.1 peratus dipacu oleh pertumbuhan pendapatan yang mampan dan prospek pasaran pekerjaan yang positif.

“Pelaburan swasta pula dijangka mencatat pertumbuhan sebanyak 7.8 peratus pada 2026 didorong oleh peningkatan perbelanjaan modal pembinaan serta jentera dan peralatan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berasaskan teknologi.

“Unjuran ini disokong oleh rekod pelaksanaan yang baik dengan 85.1 peratusan projek pembuatan diluluskan antara 2021 hingga Jun 2025 telah dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, penggunaan awam pula diunjur berkembang sebanyak 3.2 perayus pada 2026 terutamanya dipacu oleh peningkatan perbelanjaan emolumen susulan pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2.

“Perbelanjaan bagi perkhidmatan dan bekalan dijangka kekal stabil bagi memastikan penyampaian berterusan perkhidmatan awam selari dengan disiplin fiskal Kerajaan dan prinsip nilai untuk wang.

“Pelaburan awam pula dijangka berkembang sebanyak 7.3 peratus pada 2026 terutamanya dipacu oleh peningkatan perbelanjaan modal oleh syarikat awam yang dianggar menyumbang sekitar 70 peratus daripada jumlah pelaburan awam.

“Pertumbuhan ini akan terus disokong oleh pembangunan dalam sektor strategik termasuk utiliti, tenaga dan pengangkutan untuk menyokong daya tahan ekonomi dan pertumbuhan masa hadapan.

“Pembangunan ini termasuk projek meningkatkan kapasiti penjanaan elektrik, menaik taraf rangkaian kereta api serta sistem pengangkutan awam,” ujarnya.

Tambahnya, pada 2026, pendapatan negara kasar (PNK) pada harga semasa diunjur berkembang sebanyak 5.3 peratus kepada RM2,064.2 bilion.

“Peratusan tabungan negara kasar (TNK) berbanding PNK kekal tinggi pada 22.9 peratus terutamanya disumbangkan oleh tabungan sektor swasta.

“Sementara itu, jumlah pelaburan dijangka meningkat sebanyak 6.2 peratus kepada RM450.5 bilion mewakili 21.8 peratus daripada PNK.

“Jurang tabungan-pelaburan pula diunjur mencatat lebihan sebanyak RM23.2 bilion atau 1.1 peratus daripada PNK mampu menyediakan kecairan yang mencukupi bagi pelaburan produktif jangka masa panjang,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×