Perlu nilai semula aspek bimbangan moral di sekolah - Utusan Malaysia

Perlu nilai semula aspek bimbangan moral di sekolah

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (tengah) melakukan gimik flag-off peserta Larian Kasih Fun Run di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini. Turut sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (tiga kiri). GAMBAR: FARIZ RUSADIO / PEMBERITA: HANAFI / FAHMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kejadian rogol melibatkan pelajar sekolah di Melaka sepatutnya membuka mata semua pihak untuk menilai semula aspek keselamatan serta bimbingan moral di sekolah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat bagi anak-anak, bukan lokasi yang menimbulkan ketakutan atau kebimbangan kepada ibu bapa.

Nancy berkata, semua pihak perlu menjalankan peranan mereka dalam membentuk generasi hadapan dan persekitaran sihat.

Katanya, pihak pentadbiran sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat perlu memainkan peranan dalam memastikan persekitaran pendidikan kekal selamat dan kondusif bagi perkembangan pelajar.

“Apa yang membimbangkan adalah pelajar yang melakukan kesalahan tersebut adalah generasi yang akan memimpin kita,” katanya katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan aliran Kasih Fun Run KPWKM di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun mengalami trauma selepas dipercayai menjadi mangsa rogol dua pelajar senior di dalam kelasnya sendiri, dalam kejadian yang turut dirakam serta disaksikan dua pelajar lain.

Kejadian itu terbongkar petang semalam selepas ibu mangsa menerima maklumat daripada guru sekolah berhubung penyebaran video tidak senonoh membabitkan anak sulungnya sebelum membawa pelajar Tingkatan Tiga itu membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah.

Nancy berkata, pihaknya terus memperkukuh program kesedaran dan keibubapaan (parenting) agar nilai moral dan tanggungjawab sosial dapat diterapkan sejak di peringkat awal persekolahan.

“Kita ada program advokasi dan pendidikan seks bersama Kementerian Pendidikan di bawah Majlis Sosial Negara.

“Saya akui pengetahuan pendidikan seks masih tidak mencukupi, sebab itu kita mahu tingkatkan usaha ini melalui program Program Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Semua pihak perlu menjalankan tugas untuk membimbing golongan pelajar agar sekolah menjadi tempat yang selamat,” katanya.

Nancy berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menggerakkan pegawai pelindung dan kaunselor bagi membantu mangsa serta keluarga yang terjejas akibat kejadian itu.

“Pegawai pelindung kami sudah ke hospital semalam manakala pegawai kaunselor pihak kami pula akan melawat keluarga hari ini.

“Kami faham mereka trauma dan perlukan masa, jadi kami akan bantu dari segi kaunseling dan sokongan emosi buat mangsa,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya juga bekerjasama dengan pihak polis bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar dan pada masa sama memberi ruang kepada keluarga mangsa untuk bertenang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN