KOTA KINABALU: Mahu pulang mengundi, tetapi tiket penerbangan mahal. Itu antara keluhan yang sering kedengaran daripada rakyat Sabah khususnya anak muda yang merantau ke Semenanjung dan Sarawak setiap kali menjelang pilihan raya.
Akibat kekangan itu, mereka terpaksa melepaskan hak untuk mengundi atas faktor tidak mampu menanggung kos perjalanan pulang ke Sabah.
Menyedari isu itu, empat sahabat dari Kota Belud, Cindy May Justin, 26; Priska Magdalena Sinem, Calvina Angayung, dan Suriana Mohammad Salleh, masing-masing berusia 24 tahun mengambil inisiatif melancarkan kutipan dana sebanyak RM60,000 bagi membantu 100 individu pulang mengundi menerusi kempen Anak Sabah Balik Mengundi.
Menurut Priska, kriteria utama penerima bantuan adalah pengundi belia dan pengundi kali pertama yang berusia 18 hingga 35 tahun sama ada mereka berada di Semenanjung, Sarawak, mahupun di dalam negeri Sabah.
Katanya, usaha ini dijalankan sebagai penyelesaian jangka masa pendek untuk memastikan anak muda Sabah tidak terpinggir dalam proses demokrasi berikutan ketiadaan undi pos untuk rakyat yang berada jauh dari tempat mengundi ketika Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
“Setakat ini seramai 1,024 orang sudah mendaftar dengan jumlah yang berjaya dikumpul sebanyak RM1,635. Proses saringan akan dibuat, 50 orang dari luar Sabah (Semenanjung Malaysia dan Sarawak) dan 50 orang dalam negeri Sabah akan dipilih untuk menerima bantuan ini.
“Kempen ini digerakkan untuk membawa pulang ‘Kingmaker’ Sabah iaitu golongan belia yang merangkumi 54 peratus daripada keseluruhan pengundi negeri supaya suara anak muda didengar dan tidak terpinggir dalam proses demokrasi,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Priska yang juga pereka grafik bebas berkata, bantuan yang diberikan adalah dalam bentuk tiket perjalanan melalui darat dan penerbangan dua hala.
Katanya, mereka sedang berusaha bekerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan bagi mendapatkan baucar atau potongan harga bagi individu yang ingin pulang mengundi. – UTUSAN










