Perkukuh reformasi undang-undang, teras manifesto GRS

Perkukuh reformasi undang-undang, teras manifesto GRS

ARMIZAN MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan komitmen untuk meneruskan agenda reformasi undang-undang dan institusi sebagai antara teras utama dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 parti itu.

Timbalan Setiausaha Agung­nya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, agenda itu bukanlah janji baharu sebaliknya kesinambungan kepada usaha reformasi menyeluruh yang telah dilaksanakan sejak GRS menerajui pentadbiran negeri pada November 2020.

“Antara tahun 2021 hingga 2025, sebanyak 51 enakmen negeri telah digubal atau dipinda sebagai sebahagian daripada agenda pembaharuan undang-undang negeri,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, antara enakmen penting yang diluluskan termasuk Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2022, Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023, Enakmen Bekalan Gas 2023, serta Enakmen Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 yang memperkenalkan peruntukan anti lompat parti.

Selain itu, beberapa undang-undang baharu turut diwujudkan bagi memperkukuh sektor tenaga dan kelestarian antaranya Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Enakmen Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 dan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025.

Armizan berkata, reformasi juga melibatkan aspek institusi dengan pemerkasaan peranan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah (JPBNS) yang kini diberi kuasa mengendalikan semua kes jenayah di bawah undang-undang negeri.

“Kelulusan ini telah diwartakan pada 6 April 2023 dan membawa kepada penubuhan Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan di bawah Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan ini memastikan semua agensi kini diwajibkan mendapatkan kebenaran daripada JPBNS sebelum memulakan sebarang pendakwaan berkaitan kesalahan jenayah di bawah undang-undang negeri seperti Ordinan Tanah, Enakmen Perhutanan, dan Enakmen Perlindungan Alam.

“Langkah ini membolehkan negeri menumpukan sepenuhnya kepada penguatkuasaan undang-undang sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada Jabatan Peguam Negara,” jelasnya.

Bagi memperkukuh lagi agenda reformasi itu, GRS turut menubuhkan Majlis Penasihat Pembaharuan Undang-Undang Sabah (SLRAC) pada 31 Julai 2025 sebagai badan penasihat bebas untuk menilai dan mencadangkan pembaharuan undang-undang secara menyeluruh.

“SLRAC akan memastikan undang-undang negeri sentiasa relevan, adil dan berkesan dengan cadangan pembaharuan yang bersasar,” kata Armizan.

Beliau menambah, rekod pelaksanaan tersebut membuktikan GRS bukan sekadar menabur janji politik tetapi melaksanakan pembaharuan secara strategik dan berani untuk memperkukuh asas tadbir urus negeri.

“Melalui mandat baharu nanti, GRS akan terus mengangkat agenda reformasi undang-undang dan institusi bagi memastikan Sabah mempunyai sistem perundangan yang lebih cekap, berintegriti dan berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN