Perkeso sedia layani pengunjung Festival Mega I Lindung U - Utusan Malaysia

Perkeso sedia layani pengunjung Festival Mega I Lindung U

FESTIVAL Mega I Lindung U menjadi pusat sehenti bagi orang ramai mendapatkan maklumat mengenai program perlindungan sosial Perkeso serta pelbagai manfaat sepanjang tiga hari penganjurannya bermula hari ini di pekarangan Stadium Shah Alam, Selangor. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Empat program perlindungan sosial daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memberi manfaat kepada para pencarum yang mencarum melalui Lindung Pekerja, Lindung Kerjaya, Lindung Kendiri, Lindung Kasih.

Semua maklumat lanjut berkaitan perlindungan sosial itu, tersedia kepada pengunjung Festival Mega I Lindung U 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di pekarangan Stadium Shah Alam.

Ketua Cawangan Penjena­maan, Media dan Perhubungan Awam Perkeso, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, festival itu berperanan sebagai pusat sehenti perlindungan sosial negara, yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan dan aktiviti komuniti di bawah satu bumbung.

“Melalui festival itu, orang ramai boleh mendaftar dan menyemak status caruman, mendapatkan khidmat nasihat daripada Perkeso serta mendekati pelbagai inisiatif perlindungan sosial ditawarkan,” katanya.

Orang ramai juga berpeluang mendapatkan maklumat lanjut pelbagai bantuan menerusi program Sosial Sinergi serta faedah-faedah lain termasuk kemudahan Pusat Rehabilitasi.

Malah, Perkeso turut menawarkan diskaun sehingga 80 peratus ke atas Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) kepada majikan sepanjang festival bagi membantu mereka menyelesaikan tunggakan caruman dan menggalakkan pematuhan ter­hadap tanggungjawab keselamatan sosial pekerja namun tertakluk kepada terma dan syarat.

Pada Festival Mega I Lindung U, Perkeso bersedia menerima sekurang-kurangnya 70,000 pengunjung untuk menyemak, mendaftar dan memahami lebih dekat skim perlindungan sosial daripada Perkeso selain menikmati pelbagai pengisian menarik serta peluang memenangi hadiah lumayan.

Selain pelbagai pengisian menarik aktiviti di reruai utama Perkeso, bermacam-macam lagi tarikan disediakan seperti hampir 1,000 peluang kerjaya dalam Karnival Lindung Kerjaya MyFutureJobs serta 60 gerai makanan viral dan popular.

Peluang itu disediakan oleh syarikat terkemuka seperti DRB-Hicom Auto Solutions Sdn Bhd, Watsons, Top Glove Corporation Berhad, Media Prima Berhad, dan Mega Fortis Berhad di pelbagai peringkat dengan tawaran gaji sehingga RM10,000.

Di samping itu, pengunjung juga boleh mengetahui pelbagai lagi maklumat menerusi perkongsian dalam sesi borak santai bersama aktivis kemanusiaan Zainal Rashid Ahmad (ZRA), tausiah oleh Sheikh Mahmood Al Wasobi, serta ce­ramah agama oleh Ustaz Mad Kecik.

Dalam program sepanjang tiga hari itu juga, orang ramai berpeluang menjalani saringan kesihatan percuma oleh Bahagian Perubatan dan Pemulihan Perkeso serta saringan kanser percuma oleh Majlis Kanser Nasional (Makna).

Menambah kemeriahan, pe­ngunjung boleh menyertai akti­viti seperti dekorasi kek tiramisu ‘Lindung Kasih’, bual bicara ‘Lindung Pekerja’, pertandi­ngan e-Sport ‘Lindung Kendiri’, perkongsian inspirasi bersama pempengaruh Makkiah Ferry, serta pertunjukan silap mata oleh Mawie Magic.

Setiap malam, pentas utama bakal dihangatkan dengan Konsert I Lindung U menampilkan barisan artis popular seperti Rabbani, Drama Band, Kartika, Kristal X dan Sofazr.

Perkeso menjemput semua lapisan masyarakat daripada pekerja, majikan, pencari kerja hingga keluarga untuk hadir ke Festival Mega I Lindung U, yang berlangsung dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam, dan berpeluang memenangi hadiah menarik bernilai keseluruhan RM20,000 seperti tablet, basikal, peralatan elektrik dan ba­nyak lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN