PETALING JAYA: Perjumpaan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan pada pukul 2 petang hari ini menguatkan spekulasi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut Pejabat Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri Sabah, pertemuan itu berlangsung di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, Sabah.
Terdahulu, Hajiji mengadakan pertemuan bersama Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu pagi tadi.
Difahamkan pertemuan itu bagi mendapat persetujuan untuk pembubaran DUN Sabah.
DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 November ini, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri.
Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya berkata demikian dalam sidang media di DUN Sabah pada Ogos lalu.
Sebelum ini, spekulasi DUN dibubar bertiup kencang apabila beberapa pemimpin Sabah membayangkan perkara itu berlaku dalam masa terdekat.-UTUSAN










