KUALA LUMPUR: Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) kini berada di peringkat akhir dan dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rundingan itu menunjukkan kemajuan positif dan berpotensi membuka peluang lebih luas dalam perdagangan dua hala antara rantau Asia Tenggara dan Eropah.
“ASEAN kini berada di peringkat akhir rundingan FTA dan rundingan berjalan dengan baik. Diharapkan kita dapat memuktamadkannya dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Sementara itu, Mohamad berkata, ASEAN perlu kekal berpaksikan prinsip berkecuali dalam mendepani ketegangan geopolitik global yang semakin mencabar.
Katanya, meskipun pendirian itu tidak sukar untuk dikekalkan, namun banyak platform tradisional multilateralisme kini semakin terhakis dan digantikan dengan pendekatan sehala atau dua hala.
“Keadaan ini menuntut ASEAN supaya lebih berhati-hati dalam memastikan pendirian berkecuali dapat terus dipertahankan.
“Ruang manuver kini semakin sempit, maka ASEAN perlu bersatu supaya tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak,” katanya.-UTUSAN










