ETIGA perluas peluang ekonomi serantau

Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN perluas peluang ekonomi serantau

asean
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang akan dilancarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 menjadi tonggak dalam memperkukuh integrasi ekonomi serantau, selain membuka peluang perdagangan lebih luas kepada negara anggota.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan perjanjian tersebut akan mewujudkan pasaran serantau lebih lancar, meningkatkan kecekapan serta memperluas manfaat ekonomi kepada perniagaan dan tenaga kerja di seluruh ASEAN.

Katanya, ia juga akan menjadi pemacu utama dalam memperkukuh integrasi ekonomi serantau sekali gus mewujudkan pasaran lebih lancar dan berdaya saing di Asia Tenggara.

“ATIGA yang akan dilancarkan pada Sidang Kemuncak ini akan mewujudkan pasaran serantau yang lebih lancar, membuka peluang, meningkatkan kecekapan serta memperluas skala manfaat kepada perniagaan dan para pekerja kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, pertumbuhan ATIGA membuktikan komitmen ASEAN untuk memperkukuh hubungan ekonomi rentas sempadan serta menjadikan rantau ini sebagai pusat pertumbuhan yang lebih berdaya saing di peringkat global.

Katanya, kerjasama serantau tidak terhad kepada perdagangan semata-mata, sebaliknya turut melibatkan agenda tenaga, alam sekitar dan transformasi digital.

“ASEAN kini sedang memajukan Rangkaian Kuasa ASEAN sebagai langkah memperkukuh keselamatan tenaga rantau ini.

“Penubuhan Kemudahan Pembiayaan APG akan membantu menutup jurang pembiayaan dan mempercepat peralihan kita ke arah tenaga yang lebih bersih dan selamat,” katanya.

Menurut Anwar, ASEAN semakin bergerak ke hadapan dengan Kerangka Ekonomi Biru ASEAN dan Ekosistem Kenderaan Elektrik Serantau yang berperanan membina asas kepada industri lestari serta pertumbuhan hijau untuk jangka panjang.

“Dalam konteks ekonomi digital pula, ASEAN telah bersetuju mempercepat pemuktamadan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) menjelang 2026 memandangkan nilai ekonomi digital rantau ini dijangka berganda kepada AS$2 trilion menjelang 2030.

“Bagi memastikan teknologi kekal sebagai alat bantu dan bukannya penguasa, ASEAN akan menubuhkan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN bagi mengintegrasikan etika, keselamatan dan tadbir urus yang baik dalam penggunaan kecerdasan buatan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kecenderungan proteksionisme dan perubahan dalam rantaian bekalan global menuntut ASEAN supaya tidak berdiam diri, sebaliknya berani membentuk perkongsian baharu dan memperkukuh hubungan sedia ada bagi mengekalkan daya tahan ekonomi.

“ASEAN mesti berani menyesuaikan diri dengan perubahan dan berpandangan jauh dalam memperkukuh hubungan strategik yang memberi manfaat kepada semua,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN