Perhimpunan Sekolah Selamat: 11 tuntutan reformasi pendidikan

Perhimpunan Sekolah Selamat: 11 tuntutan reformasi pendidikan

FADHLINA Sidek hadir ke lokasi perhimpunan bertemu wakil Sekretariat Sekolah Selamat di hadapan bangunan Parlimen, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sekretariat Sekolah Selamat menyerahkan memorandum kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagi menuntut 11 reformasi utama dalam sistem pendidikan negara.

Antara 11 tuntutan utama termasuk penggubalan Akta Anti-Buli Kebangsaan, undang-undang khusus bagi menangani gangguan seksual di sekolah, penambahan kaunselor dan pekerja sosial, serta pelaksanaan pendidikan seksual dan kesejahteraan mental dalam kurikulum kebangsaan.

Selain itu, sekretariat turut menuntut pelaksanaan audit keselamatan fizikal tahunan di semua sekolah, penyediaan mekanisme laporan mesra kanak-kanak, serta penubuhan Suruhanjaya Sekolah Selamat di bawah Parlimen bagi memantau pelaksanaan dasar keselamatan pelajar.

Sekretariat itu terdiri daripada gabungan mahasiswa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menuntut tindakan tegas Kementerian Pendidikan (KPM).

Himpunan aman yang berlangsung di hadapan Parlimen itu bertujuan menzahirkan kebimbangan masyarakat terhadap peningkatan kes jenayah melibatkan pelajar seperti buli, rogol dan pembunuhan yang berlaku dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Wakil sekretariat, Ain Husniza Saiful Nizam berkata, kejadian-kejadian itu bukan lagi kebetulan atau kecuaian terpencil namun mencerminkan krisis sistemik keselamatan pelajar yang parah dan berlarutan.

“Sekolah bukan medan maut, sekolah ialah tempat membina masa depan. Nyawa anak-anak kita sekali lagi menjadi taruhan akibat kelemahan pengawasan dan kurangnya tanggungjawab pentadbiran sekolah.

“Institusi pendidikan yang seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk kanak-kanak menimba ilmu kini berubah menjadi ruang berisiko paling tinggi jenayah yang dipenuhi ketakutan, trauma dan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan Parlimen, hari ini.

Menurut beliau, krisis keselamatan pelajar yang sedang melanda negara bukan lagi isu disiplin mahupun salah laku terpencil tetapi kegagalan sistemik yang memerlukan reformasi menyeluruh antara kementerian dan berasaskan undang-undang.

Katanya, memorandum tersebut turut diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Komunikasi Malaysia, serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Beliau berkata, pihak sekretariat memberi tempoh masa 30 hari bagi melaksanakan tuntutan reformasi sistem pendidikan tersebut.

“Sekiranya dalam tempoh 30 hari tiada pelan tindakan konkrit, komitmen rasmi atau pembaharuan dasar diumumkan oleh Menteri Pendidikan, maka menilai kegagalan ini sebagai bukti bahawa kepimpinan sedia ada tidak layak memegang amanah melindungi generasi muda negara.

“Dalam keadaan itu, Sekretariat Sekolah Selamat bersama rangkaian NGO, mahasiswa, ibu bapa dan komuniti pendidikan akan memobilisasikan gelombang kebangkitan rakyat yang lebih besar iaitu satu gerakan nasional untuk menuntut undang-undang serta mendesak reformasi total terhadap sistem pendidikan Malaysia.

“Kami tidak akan berdiam diri selagi pelajar terus dibunuh di sekolah, dicabul oleh pegawai, dirogol oleh rakan sekelas atau dibisukan oleh pentadbir yang lebih takut menjaga imej daripada menjaga nyawa,” katanya.

Menurut Ain, Fadhlina telah memberi komitmen untuk meneliti dan melaksanakan tuntutan yang dikemukakan, namun beliau menegaskan bahawa mereka tidak mahu sekadar mendengar janji.

“Kami bukan datang untuk mendengar kata-kata manis atau ucapan semata-mata. Kami mahu tindakan dan reformasi sebenar dalam sistem pendidikan,” katanya.

Menurutnya, mahasiswa hadir ke Parlimen hari ini membawa suara anak muda yang menuntut perubahan agar sekolah benar-benar menjadi tempat yang selamat.

“Kami berharap janji yang telah diberikan akan ditepati, kerana kami datang ke sini untuk menuntut sekolah yang lebih selamat buat semua,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN