PETALING JAYA: Kerajaan akan meminda undang-undang bagi membolehkan pengirim dan penerima barang dipertanggungjawabkan untuk mengekang kesalahan lebih muatan melibatkan kenderaan perdagangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini supaya tanggungjawab tidak hanya tertumpu kepada pemandu dan syarikat pengangkutan semata-mata.
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan sesi pertemuan dengan pihak industri untuk memberi amaran dan memastikan pematuhan.
“Selain itu, rangka kerja undang-undang sedang disediakan supaya tanggungjawab bukan hanya tertumpu pada pemandu dan syarikat pengangkutan, malah juga pada consignor (pengirim) dan consignee (penerima barang).
“Langkah itu bertujuan memastikan keselamatan jalan raya dijaga secara menyeluruh oleh semua pihak dalam ekosistem pengangkutan,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen di sini, hari ini.
Semalam, Kementerian Pengangkutan melancarkan operasi penguatkuasaan bersepadu secara besar-besaran di seluruh negara bagi mengekang kesalahan membawa lebih muatan melibatkan kenderaan perdagangan.
Operasi yang dinamakan ‘Perang Lebih Muatan Kenderaan Perdagangan’ itu dilaksanakan hingga 31 Disember ini.
Operasi itu meliputi lima zon utama iaitu Utara, Tengah, Selatan, Timur dan Borneo. Setiap negeri akan menggerakkan empat pasukan penguat kuasa, menjadikan keseluruhannya 12 pasukan aktif di setiap zon.
Anthony berkata, kerajaan juga menggalakkan dasar ‘Road to Rail’, dengan kargo berat dan berbahaya lebih digalakkan diangkut melalui laluan kereta api bagi mengurangkan bebanan jalan raya. – UTUSAN









