PETALING JAYA: Kerajaan perlu menimbangkan pelaksanaan tarif elektrik khas pada kadar lebih rendah bagi pengguna kenderaan elektrik (EV), selain menambah bilangan pengecas awam di seluruh negara dalam Belanjawan 2026, menurut Persatuan Kenderaan Elektrik Malaysia (EVAM).
Presidennya, Datuk Dennis Chuah berkata, langkah itu penting bagi memastikan keadilan kepada semua pengguna kenderaan tidak mengira segmen.
“Ini memandangkan pemilik kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) kini mendapat manfaat subsidi petrol melalui pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95).
“Dasar tarif elektrik khas perlu diwujudkan bagi menggalakkan pemilikan EV serta menampung jurang faedah berbanding pengguna ICE.
“Dalam masa sama, isu infrastruktur pengecasan juga perlu diperkasa kerana ramai pemilik kondominium berdepan kekangan untuk memasang pengecas persendirian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, dasar lebih jelas juga wajar dirangka bagi membolehkan pemilik EV di kondominium memasang kemudahan pengecas di petak parkir milik mereka sendiri dengan syarat mematuhi standard keselamatan dan spesifikasi teknikal ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan turut meneliti semula kadar cukai terhadap kereta elektrik mewah berkuasa tinggi agar selaras dengan usaha merangsang pertumbuhan industri mobiliti hijau.
“Pendekatan cukai terlalu tinggi boleh menjejaskan permintaan pasaran segmen EV mewah.
“Justeru, Kementerian Pengangkutan (MoT) diharap mempertimbangkan kadar lebih rendah bagi memastikan perkembangan sihat industri ini,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, insentif pengecualian cukai masih terpakai bagi kenderaan elektrik pemasangan tempatan (CKD).
“Cukai jalan EV pula akan ditentukan mengikut kuasa motor (kW) dengan struktur baharu dijangka lebih rendah sehingga 85 peratus berbanding kadar sedia ada. Perubahan ini mampu mengurangkan beban pemilik,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd. Shamsor Mohd. Zain berharap kerajaan melanjutkan insentif cukai sedia ada bagi kenderaan elektrik bateri (BEV) dalam Belanjawan 2026 bagi mempercepat matlamat negara mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil serta menarik pelaburan jangka panjang.
“Di bawah dasar sekarang, BEV yang diimport sepenuhnya menikmati duti import dan duti eksais sifar sehingga akhir 2025, manakala BEV pemasangan tempatan dikecualikan daripada duti import, duti eksais dan cukai jualan sehingga 2027.
“Justeru, kami mencadangkan agar insentif ini dilanjutkan sehingga 2027 bagi BEV yang dimport sepenuhnya (CBU) dan sehingga 2030 untuk BEV CKD.
“Bahagian pasaran BEV masih rendah, hanya 4.0 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) setakat Jun 2025, walaupun meningkat 91 peratus daripada tempoh yang sama pada 2024.
“Jadi, terdapat keperluan mendesak untuk meneruskan insentif sedia ada bagi mengekalkan momentum pertumbuhan EV,” katanya. – UTUSAN










