Pengecualian tarif dijangka berkuat kuasa 60 hari 

Pengecualian tarif dijangka berkuat kuasa 60 hari 

TENGKU Zafrul ketika sidang media berkaitan perjanjian tarif timbalan Malaysia dan Amerika Syarikat pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini. -UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengecualian tarif yang diberikan Amerika Syarikat (AS) kepada sebanyak 1,711 produk eksport utama Malaysia dijangka berkuat kuasa dalam tempoh 60 hari selepas pertukaran surat rasmi antara kedua-dua negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, ia susulan pemeteraian Perjanjian timbal balik Malaysia–AS yang diumumkan menyaksikan Malaysia berjaya memperoleh pengecualian tarif bagi pelbagai produk bernilai strategik termasuk minyak sawit, barangan berasaskan getah, produk koko, komponen dan alat ganti pesawat serta farmaseutikal.

“Pengecualian tersebut merupakan sebahagian daripada hasil rundingan yang turut menyaksikan penurunan tarif import AS daripada 25 peratus kepada 19 peratus, sekali gus menjamin daya saing eksport Malaysia di pasaran AS.

“Kami menjangkakan pelaksanaan rasmi pengecualian tarif itu akan berlaku sebelum akhir tahun ini, memberi ruang kepada pemain industri Malaysia untuk segera meraih manfaat daripada akses pasaran yang lebih luas dan kos eksport yang lebih rendah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media perjanjian timbal balik tarif Malaysia-AS sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. 

Jelas beliau, langkah ini dijangka bukan sahaja memperkukuh hubungan dagangan dua hala, tetapi juga menyokong pertumbuhan sektor berimpak tinggi seperti aeroangkasa, elektrik dan elektronik (E&E), dan farmaseutikal selaras dengan sasaran Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Tengku Zafrul berkata, dalam konteks semikonduktor, aeroangkasa dan semua peralatan yang berkaitan dengan perolehan syarikat-syarikat serta syarikat multinasional, angka-angka tersebut adalah komitmen yang telah dibuat oleh syarikat-syarikat itu sendiri. 

“Tiada pembiayaan daripada kerajaan ini adalah komitmen daripada sektor swasta kita dan juga berdasarkan keperluan cukai pada masa hadapan,” katanya. 

Terdahulu, Malaysia dan AS menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balik antara kedua-dua negara.

Perjanjian tersebut ditandatangani antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan. 

Rumah Putih berkata, terma utama dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balik itu termasuk komitmen Amerika Syarikat untuk mengekalkan kadar tarif sebanyak 19 peratus bagi Malaysia.

Kata Rumah Putih, pihaknya juga telah mengenal pasti produk daripada senarai Lampiran III kepada Perintah Eksekutif 14346 (bertarikh 5 September 2025) untuk menerima kadar tarif timbal balik sifar peratus.

Katanya, antara terma utama perjanjian perdagangan timbal balik antara AS dan Malaysia termasuk akses pasaran keutamaan yang signifikan bagi eksport barangan industri dari AS. 

Ini termasuk bahan kimia, jentera dan peralatan elektrik, logam serta kenderaan penumpang. 

Bagi eksport pertanian AS, ia termasuk hasil tenusu, produk hortikultur, ayam, produk diproses, minuman, daging khinzir, beras dan etanol bahan api.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN