PETALING JAYA: Pemimpin dalam perkhidmatan awam kini memerlukan pendirian moral yang jelas dan berani untuk melakukan pembaharuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, transformasi ini menuntut kepimpinan dalam tadbir urus mahupun perkhidmatan awam yang berfikiran ke depan dan bersikap terbuka.
Katanya, mereka perlu bertindak secara telus serta bersedia menerima apa jua kritikan dalam pembaharuan.
“Sebuah rantau ASEAN dengan 670 juta penduduk yang mempunyai pelbagai bahasa, budaya dan kepercayaan mesti berfungsi sebagai rangkaian institusi yang berkeupayaan dan dipercayai.
“Fasa seterusnya kerjasama ASEAN akan bergantung kepada sejauh mana kita memodenkan sistem perkhidmatan awam kita sendiri.
“Pada teras tadbir urus terletaknya nilai moral yang tanpanya perkhidmatan awam akan kehilangan arah.
“Tanggungjawab kita ialah memperkasa rakyat dan memastikan kemajuan dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Asean Kesediaan Perkhidmatan Awam di sini hari ini.
Beliau berkata, peralihan tenaga kini mewujudkan kemahiran dan pekerjaan baharu, selain memastikan kedudukan fiskal negara kekal kukuh.
Menurutnya, langkah seterusnya sudah tentu menghubungkan semua pembaharuan ini supaya kerajaan berfungsi sebagai satu entiti yang bersatu, bukan terpisah dan ini satu cabaran besar.
“Namun, pembaharuan baharu ini perlu dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan.
“Pemahaman dan peranan pemimpin penting untuk memastikan mereka dapat bekerja sebagai satu kumpulan yang bersepadu,” katanya.
Beliau berkata, teknologi juga membentuk semula tadbir urus daripada analisis data hingga kecerdasan buatan namun matlamatnya tetap satu iaitu menjadikan kehidupan lebih mudah dan perkhidmatan yang lebih baik.
Jelasnya, perkhidmatan awam mesti menjadi institusi yang sentiasa meningkatkan kemahiran dan memegang teguh piawaian integriti yang jelas.- UTUSAN









