Pemimpin Bersatu guna kuasa pertahan politik feudal

Pemimpin Bersatu guna kuasa pertahan politik feudal

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemecatan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menafikan atau mempersoalan idealisme serta matlamat asal perjuangan parti itu.

Wan Saiful berkata, idealisme perjuangan Bersatu tetap sama seperti dahulu meskipun beliau kini tidak lagi berada dalam parti itu.

Katanya, pergeseran dalaman yang berlaku berpunca daripada kelompok kecil dalam parti yang mempergunakan kedudukan dan kuasa untuk menyekat kumpulan lebih besar yang tidak mahu parti dipergunakan untuk kepentingan diri dan keluarga.

“Dengan terus terang saya mengingatkan bahawa saya baru sahaja dipecat daripada Bersatu. Tetapi pemecatan itu tidak boleh dijadikan sebab untuk menafikan atau mempersoalkan idealisme dan matlamat Bersatu sebagai sebuah parti. Idealisme perjuangan Bersatu tetap sama seperti dahulu. 

“Pergeseran dan perselisihan adalah lumrah dalam mana-mana parti. Situasi dalam Bersatu adalah sementara sahaja, yang mana ia berlaku kerana dalam parti ini semakin ramai yang menuntut perubahan, tetapi pemimpin tertinggi tidak mahu berubah,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas menghadiri Majlis Sambutan Deepavali di Kajang malam tadi.

Wan Saiful berkata, pemimpin tertinggi parti kini dilihat mempergunakan kuasa untuk mempertahankan cara feudal politik naungan serta menutup ruang untuk berbeza pandangan.

Bagaimanapun, beliau yakin keadaan itu tidak akan berlarutan kerana akar umbi Bersatu terdiri daripada pejuang yang mahu parti dikembalikan kepada agenda rakyat.

“Saya ambil peluang dalam ucapan saya untuk mengajak hadirin bersabar dan memberi ruang untuk Bersatu menyelesaikan kemelut dalaman tanpa menghilangkan kepercayaan rakyat kepada parti.

“Saya juga menjelaskan kepada hadirin bahawa Bersatu serta Perikatan Nasional (PN) jauh lebih serius dalam membela nasib warga India di Malaysia.

“Saya sendiri sudah beberapa kali membawa suara komuniti India ke Dewan Rakyat. Malahan setelah saya mengangkat isu kebajikan pemimpin kuil Hindu di Malaysia, barulah ada langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mendengar keluhan mereka,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN