Pemandu jengkaut maut ditetak sepupu

Pemandu jengkaut maut ditetak sepupu

SUSPEK dibawa polis untuk mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Pasir Mas, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Seorang pemandu jengkaut maut selepas ditetak bertubi-tubi dengan sebilah parang oleh sepupunya di sebuah rumah di Kampung Kok Bedullah, di sini malam tadi dipercayai angkara dendam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 malam itu, Mohd. Suhairi Hashim, 46, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah dan putus lengan kiri.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati, suspek yang mempunyai tali persaudaraan dengannya ke rumah mangsa sebelum menyerang lelaki itu menggunakan sebilah parang.

Katanya, suspek dipercayai menetak bahagian muka dan badan mangsa bertubi-tubi sehingga lengan kirinya putus.

“Sebilah parang bersaiz panjang yang digunakan untuk menetak mangsa dirampas semasa suspek ditahan.

“Siasatan lanjut mendapati, suspek mempunyai dendam lama dengan mangsa sehingga menyebabkan lelaki itu bertindak sedemikian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Khairi berkata, saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah.

Katanya, suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN