Pelantikan Takaichi tonjol evolusi demokrasi matang Jepun

Pelantikan Takaichi tonjol evolusi demokrasi matang Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia mengucapkan setinggi‑tinggi tahniah kepada Sanae Takaichi atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Jepun sekali gus menjadi wanita pertama dalam sejarah negara matahari terbit memegang jawatan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan itu dilihat sebagai satu tonggak penting dalam arena politik Jepun yang mencerminkan evolusi demokrasi semakin inklusif dan matang di negara tersebut. 

“Malaysia menghargai dan menzahirkan komitmennya terhadap Perkongsian Strategik Komprehensif antara kedua-dua negara yang dibina atas asas kepercayaan, inovasi dan aspirasi untuk kestabilan serantau serta pertumbuhan mampan.

“Kedua‑dua pihak dijangka terus memperkukuh kerjasama apabila Takaichi dijangka hadir ke Kuala Lumpur minggu hadapan bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN‑Jepun. 

“Malaysia menantikan kehadiran beliau sebagai satu peluang untuk memperluas lagi kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, teknologi dan Pendidikan,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook, di sini hari ini. 

Pada masa sama, Anwar merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba atas lawatan beliau ke Malaysia awal tahun ini yang telah memperkukuh persahabatan serta kerjasama antara kedua-dua negara.

Jepun hari ini melakar sejarah baharu apabila Takaichi dipilih sebagai Perdana Menteri wanita pertama negara itu selepas memenangi undian Parlimen.

Takaichi, 64, meraih majoriti mudah 237 undi daripada 456 kerusi di Dewan Rendah, menewaskan beberapa calon lain termasuk pemimpin pembangkang utama Parti Demokratik Perlembagaan (CDP), Yoshihiko Noda, yang berada di tempat kedua dengan 149 undi.

Dikenali sebagai tokoh konservatif tegas dan dianggap pelindung ideologi mendiang bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe, Takaichi dipilih mengetuai Parti Liberal Demokratik (LDP) pada 4 Oktober, sekaligus membuka laluan ke jawatan tertinggi dalam pentadbiran Jepun.

Namun, pelantikan Takaichi ke jawatan tertinggi itu hampir tergugat selepas perikatan 26 tahun antara LDP dan Komeito dibubarkan secara mengejut pada 10 Oktober lalu. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×