Pelanjutan SJKP, pengecualian duti setem buka peluang rakyat masuki pasaran hartanah - Utusan Malaysia

Pelanjutan SJKP, pengecualian duti setem buka peluang rakyat masuki pasaran hartanah

AHMAD SOALAHUDDIN AL-THANI AHMAD TERMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelanjutan Skim Pembiayaan Perumahan Muda, jaminan pinjaman rumah sehingga 120 peratus dan pengecualian duti setem bagi rumah pertama sehingga RM500,000 dalam pembentangan Belanjawan 2026 buka peluang kepada lebih ramai rakyat untuk memasuki pasaran hartanah. 

Ketua Pegawai Operasi M K Land Holdings Berhad (M K Land), Ahmad Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi berkata, ini membolehkan pembeli rumah pertama memiliki kediaman mereka dan mereka yang ingin menaik taraf rumah mereka berupaya memiliki rumah impian mereka. 

“Pada masa sama, ia juga memberi peluang kepada pemaju hartanah seperti M K Land untuk merancang dan melaksanakan projek berskala lebih besar dan lestari, sejajar dengan permintaan pasaran yang semakin meningkat. 

“Belanjawan 2026 juga menyediakan insentif cukai bagi pengusaha projek pelancongan, syarikat pengendali pakej, serta penganjur acara berskala antarabangsa,” katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata, pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 juga disediakan untuk galakan melancong dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melancong dalam negara, malah turut menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan hospitaliti domestik. 

“Dengan pelepasan cukai sehingga RM500,000 bagi pengubahsuaian dan penambahbaikan premis perniagaan, MK Land berpeluang meningkatkan fasiliti serta pengalaman pengunjung di resort kami. 

“Ini termasuk di Ombak Villa Langkawi dan Bukit Merah Laketown Resort, sambil terus menyokong pertumbuhan ekonomi pelancongan tempatan, terutamanya di Perak dan Langkawi,” ujarnya. 

Selain itu, Soalahuddin berkata, M K Land menjangkakan inisiatif itu akan mendorong lebih banyak mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).

“Ini turut merangkumi acara sukan diadakan di resort kami dengan membolehkan memanfaatkan sokongan Kerajaan dengan memberikan pengalaman yang lebih baik kepada para pengunjung,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata, Belanjawan 2026 turut menumpukan kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui melalui projek solar berskala besar, Skim Pembiayaan Teknologi Hijau dan insentif kepada syarikat untuk menghasilkan tenaga hijau.

“Inisiatif kerajaan ini dijangka memacu pertumbuhan seluruh industri tenaga boleh diperbaharui, termasuk M K Land. 

“Apatah lagi dengan kejayaan loji solar photovoltaic LSS4 kami di Kerian, Perak, yang menjana 10.95MWac dan kini berada dalam tahun ketiga operasi. 

“Insentif ini pastinya bukan sahaja memperkukuh komitmen kami terhadap pembangunan lestari, malah. turut menggalakkan penggunaan tenaga hijau secara lebih meluas di Malaysia,” katanya. 

M K Land kekal komited dalam menyokong inisiatif kerajaan, mengambil bahagian dalam projek-projek akan datang, memacu pembangunan lestari, serta memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dinikmati oleh rakyat dan industri secara meluas. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×