Pelajar maut ditikam di sekolah

Pelajar maut ditikam di sekolah

ANGGOTA polis mengawal keselamatan sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Selangor semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suspek tikam pelajar perempuan berusia 16 tahun sebuah sekolah menengah di Bandar Utama dilihat masuk ke dalam sebuah kelas memegang senjata tajam dengan berlumuran darah.

Pelajar Tingkatan Satu yang enggan dikenali itu mendakwa suspek berusia 14 tahun masuk ke kelasnya, namun tidak mencederakan pelajar lain dalam kelas berkenaan. 

“Dia hanya masuk kelas kami sambil bawa senjata tetapi dia tidak acu atau ugut kami. Pelajar itu masuk sekejap sahaja sebelum dia keluar dan saya tak tahu dia pergi mana selepas itu. 

“Kami memang takut dan berdebar-debar ketika itu dan saya juga masih rasa trauma dengan kejadian itu. 

“Saya tidak mengenali dia (suspek), kami tidak belajar di kelas yang sama dan saya cuma tahu dia pelajar kelas peralihan saja,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Terdahulu, pelajar perempuan 16 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, maut selepas dipercayai ditikam beberapa kali seorang pelajar lelaki semalam.

Mangsa maut selepas dipercayai ditikam beberapa kali oleh pelajar lelaki dalam kejadian dikatakan berlaku sekitar pukul 9.30 pagi di luar bilik darjah berhampiran kawasan tandas perempuan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, siasatan pihaknya berhubung kes itu dilakukan secara menyeluruh termasuk menjurus dakwaan cinta suspek ditolak mangsa.

Katanya, dakwaan yang tersebar di media sosial turut berada dalam sudut siasatan pihaknya namun perlu diteliti lanjut.

Beliau berkata, pelajar perempuan dipercayai ditikam bertubi-tubi menggunakan dua senjata berbeza.

Sementara itu, seorang lagi pelajar mendakwa dia terdengar suspek berbisik kepada rakannya dengan mengatakan ‘awak lihat nanti, apa yang akan berlaku’ ketika mereka sedang berkumpul sebelum masuk ke kelas. 

Dakwanya, ketika itu secara kebetulan dia berada di belakang suspek namun mengakui tidak mengenali dan berkawan dengan remaja lelaki terbabit. 

“Kami juga ada nampak pelajar itu (suspek) ada bawa senjata,” katanya. 

Seorang lagi pelajar berkata, dia terdengar suara jeritan pelajar perempuan di tandas aras bawah dari kelasnya di tingkat tiga sebelum melihat seorang pelajar berlari turun ke bawah.

“Saya lihat ada budak lelaki berlari seperti mahu turun ke bawah (dipercayai untuk membantu). Pada mulanya saya ingatkan ada pelajar kena marah dengan cikgu atau ada kejadian lain. 

“Sebelum itu juga, saya ada nampak budak lelaki (dipercayai suspek) memegang senjata tajam,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN