ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mengingatkan generasi muda terutama pelajar supaya menyesuaikan diri dengan perkembangan dunia digital yang semakin mencabar ketika ini.
Sultan Sallehuddin bertitah, ketika mendepani perubahan teknologi, golongan tersebut diharap mengekalkan jati diri masing-masing dan tidak bertindak membelakangkan agama dan budaya.
“Dunia digital yang semakin mencabar, menuntut para pelajar supaya bijak menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi. Namun begitu, jangan sekali-kali melupakan akar budaya dan nilai agama yang menjadi tunjang setiap bangsa.
“Ilmu yang diperoleh mesti digunakan untuk kebaikan, selain untuk membina masyarakat yang maju, berdaya saing dan berakhlak mulia selaras dengan tuntutan agama dan nilai-nilai murni bangsa,” titah baginda pada Majlis Anugerah Cemerlang Ke-55 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Keat Hwa, hari ini.
Sultan Sallehuddin juga bertitah supaya budaya hormat menghormati dan berakhlak mulia menjadi amalan di samping menolak segala bentuk perbuatan yang tidak bermoral.
“Itu termasuk tidak menghormati tenaga pengajar, serta membuli sama ada secara fizikal atau emosi yang membawa kemudaratan dan masalah kepada semua pihak,” titah baginda.
Titah baginda, para pendidik pula berperanan menjadi penggerak utama transformasi pendidikan yang bukan sahaja untuk mengajar dan memberi pengetahuan serta kemahiran tetapi menyatu-padukan pelajar pelbagai kaum.
Kata baginda, ia melalui aktiviti pendidikan selaras dengan aspirasi Malaysia yang bersatu padu.
Menurut Sultan Sallehuddin, semangat kebersamaan melambangkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Kedah yang hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati. -UTUSAN










