PETALING JAYA: Pelajar perempuan berusia 16 tahun maut di sebuah sekolah, di sini pagi tadi dipercayai ditikam bertubi-tubi menggunakan dua senjata berbeza.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asistem Komisioner Shamsudin Mamat berkata, berdasarkan pemerhatian pada badan mangsa, tikaman berulang kali itu menyebabkan mangsa maut.
“Kita lihat memang ada banyak kesan tikaman, namun tidak dapat dipastikan dengans sebnar berapa kali ditikam.
“Proses bedah siasat masih berlangsung yang akan menentukan punca sebenar kematian mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kira-kira pukul 5.30 petang, terdapat beberapa ibu bapa pelajar berada di sekolah berkenaan menunggu anak mereka
Difahamkan, proses itu membabitkan beberapa pelajar di dua kelas sekolah berkenaan.
Seorang ibu pelajar ketika ditemukan berkata, dia sedang menunggu anak yang sedang dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
“Anak saya masih berada dalam kawasan sekolah untuk memberi keterangan dan saya memang sudah dimaklumkan perkara itu. Saya sudah menunggu di sini hampir 10 minit,” katanya.
Sementara itu, seorang pelajar ketika ditemui berkata, mereka tidak dibenarkan memberi sebarang kenyataan berhubung perkara itu. – UTUSAN