PETALING JAYA: Ibu bapa pelajar sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini yang menjadi lokasi kejadian seorang pelajar perempuan maut ditikam pagi tadi menggesa pihak berkuasa dan sekolah meningkatkan langkah keselamatan.
Rata-rata mereka ketika ditemui pemberita memberitahu mereka bimbang dengan keselamatan anak masing-masing dan terkejut dengan kejadian yang berlaku.
Ahli perniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai Nasir, 50-an berkata, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku di sekolah terbabit yang juga sekolah empat anaknya sejak tujuh tahun lalu.
Menurutnya, dia datang ke sekolah berkenaan pada 10 pagi tadi untuk menghantar makanan kepada dua anaknya dan terkejut apabila melihat sebahagian pelajar sudah dipindahkan keluar dari kelas.
“Anak perempuan saya sangat terkejut dan dia menangis tanpa henti serta tidak dapat ditenangkan ketika itu. Saya tahu cerita ini daripada rakan anak yang berada bersamanya,” katanya di sini hari ini.
Katanya, dia tidak menyangka kejadian seperti pembunuhan itu akan berlaku membabitkan pelajar di kawasan dalam sekolah.
Oleh itu, katanya, tindakan sewajarnya perlu dilakukan bagi menjamin keselamatan semua pihak.
Bagaimanapun katanya, dia tidak bercadang memindahkan anaknya daripada sekolah berkenaan.
“Saya rasa langkah lebih ketat perlu diambil, termasuk melakukan pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa. Pihak berkenaan hanya perlu memperketatkan kawalan keselamatan,” jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi bapa pelajar, Johari Hashim, 58, berkata, kejadian jenayah membabitkan penggunaan senjata dalam kalangan pelajar sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikirannya.
Katanya, dia berharap pihak sekolah akan mengambil tindakan susulan yang lebih serius bagi memastikan keselamatan pelajar lebih terjamin pada masa hadapan.
Terdahulu media melaporkan, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di sini, maut dipercayai ditikam pelajar lelaki berusia 14 tahun, hari ini. – UTUSAN








